Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Harga emas dibuka dengan goyah pada awal minggu menghampiri $4,650 apabila aset tersebut kini sedang bergelut dengan lonjakan harga tenaga yang mampu mencetuskan risiko inflasi serta melemahkan jangkaan bahawa Fed akan melonggarkan kadar faedahnya.
Pada jam 10 pagi, harga emas berada pada paras $4,723 iaitu turun 0.54% sejak ia dibuka pada awal dagangan Isnin di sesi Asia.
Harga minyak mentah jenis West Texas Intermediate (WTI) memulakan minggu ini dengan lonjakan ketara apabila dibuka dengan jurang kenaikan sekitar 8.5%, sekali gus didagangkan hampir $98 setong pada awal sesi.
Peningkatan mendadak ini mencerminkan kebimbangan pasaran terhadap risiko bekalan global susulan ketegangan geopolitik yang kembali memuncak.
Lonjakan harga minyak didorong terutamanya oleh perkembangan terbaru konflik antara Amerika Syarikat dan Iran. Ketegangan ini meningkatkan risiko gangguan laluan penghantaran minyak utama dunia, sekali gus menolak harga komoditi tersebut lebih tinggi dalam tempoh singkat.
Amerika Syarikat dilaporkan akan mula menyekat pergerakan kapal yang memasuki dan keluar dari Selat Hormuz selepas rundingan damai antara kedua-dua negara gagal mencapai kata sepakat.
Tindakan ini dijangka memberi kesan langsung kepada aliran perdagangan minyak global memandangkan laluan tersebut merupakan antara yang paling penting di dunia.
Dalam masa sama, pihak Komando Pusat AS (CENTCOM) memaklumkan bahawa sekatan terhadap trafik maritim ke dan dari pelabuhan Iran akan mula dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan. Langkah ini berpotensi meningkatkan lagi tekanan terhadap rantaian bekalan tenaga global.
Sementara itu, data Indeks Harga Pengguna (IHP) Amerika Syarikat yang lebih tinggi daripada jangkaan terus menyokong pendirian dasar monetari yang ketat oleh Fed.
Inflasi tahunan meningkat kepada 3.3% pada Mac berbanding 2.4% sebelumnya, manakala bacaan bulanan melonjak kepada 0.9%. IHP teras pula mencatatkan kenaikan sederhana sebanyak 0.2% bulan ke bulan dan 2.6% tahun ke tahun, mengukuhkan jangkaan kadar faedah akan kekal tinggi untuk tempoh lebih lama.
























































