Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Pasaran kewangan global dijangka bergerak lebih berhati-hati menjelang penerbitan laporan Non-Farm Payrolls (NFP) Amerika Syarikat bagi Disember yang akan diumumkan malam ini pada jam 9.30 malam waktu Malaysia ini.
Data ini menjadi tumpuan utama pelabur kerana ia merupakan antara petunjuk ekonomi paling penting dalam menilai kekuatan pasaran buruh AS serta hala tuju dasar monetari Federal Reserve (Fed).
Secara ringkas, data NFP mengukur jumlah pekerjaan baharu yang diwujudkan dalam ekonomi AS, tidak termasuk sektor pertanian.
Laporan ini sering digunakan sebagai penanda aras kepada momentum pertumbuhan ekonomi dan tekanan inflasi, justeru ia diberi perhatian rapi oleh Fed dalam membuat keputusan berkaitan kadar faedah.
Berdasarkan tinjauan Forex Factory, pasaran menjangkakan pertambahan sekitar 66,000 pekerjaan baharu bagi Disember, sedikit lebih tinggi berbanding bacaan sebelumnya iaitu 64,000.
Walaupun peningkatan ini kelihatan sederhana, kepentingannya menjadi lebih besar kerana ia diterbitkan menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 29 Januari.
Jika data NFP menunjukkan pasaran buruh AS kekal stabil atau lebih kukuh daripada jangkaan, Fed dijangka meneruskan pendekatan berhati-hati dengan mengekalkan kadar faedah pada paras semasa, selari dengan usaha mengawal inflasi.
Sebaliknya, bacaan yang jauh lebih lemah berpotensi meningkatkan jangkaan bahawa Fed mungkin mempertimbangkan pelonggaran dasar monetari lebih awal daripada yang dijangkakan.
Dari sudut pasaran mata wang, bacaan NFP yang lebih tinggi daripada jangkaan lazimnya menyokong pengukuhan dolar AS (USD) kerana ia mengurangkan kebarangkalian pemotongan kadar faedah dalam masa terdekat.
Keadaan ini berpotensi memberi tekanan kepada harga emas serta aset berisiko.
Sebaliknya, jika data NFP lebih rendah daripada jangkaan, USD berisiko melemah apabila pasaran mula menilai semula kemungkinan pelonggaran dasar oleh Fed, sekali gus memberi sokongan kepada emas dan aset selamat.
Secara keseluruhan, walaupun perbezaan antara bacaan sebelumnya dan jangkaan pasaran tidak besar, reaksi pasaran dijangka sensitif memandangkan laporan NFP ini menjadi input penting kepada keputusan FOMC pada 29 Januari.
Justeru, pergerakan USD dan pasaran global malam ini dijangka banyak dipacu oleh gambaran keseluruhan data buruh AS, bukan sekadar angka utama semata-mata.


























































