Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Pasaran Wall Street mengalami penurunan mendadak pada sesi dagangan Jumaat, dicetuskan oleh kerugian dalam Microsoft, Amazon dan syarikat teknologi lain.
Indeks Nasdaq Composite ditutup pada paras terendah sejak bulan November tahun lalu.
Situasi ini berlaku selepas syarikat induk Google, Alphabet menyatakan kesediaan untuk menggandakan perbelanjaan modal kecerdasan buatan (AI) bagi menguasai teknologi baharu tersebut.
Saham Alphabet merosot 0.55% susulan rancangan perbelanjaan modal sebanyak $185 bilion pada tahun 2026.
Dalam pada itu, Alphabet dan pesaing ‘Big Tech’ lain dijangka membelanjakan lebih daripada $500 bilion untuk pembangunan AI tahun ini.
Firma teknologi lain termasuk peneraju cip AI, Nvidia yang bakal memperoleh manfaat daripada peningkatan perbelanjaan industri AI juga merosot 1.4%, diikuti oleh Microsoft (5%), Palanti (6.8%) dan Oracle (7%).
Sejak kebelakangan ini, pelabur dilihat lebih berhati-hati terhadap perbelanjaan besar dalam sektor AI bagi memastikan pelaburan tersebut mampu menjana pendapatan dan keuntungan dalam tempoh terdekat.
Terdapat juga kebimbangan dalam kalangan pelabur bahawa teknologi AI berisiko menjejaskan permintaan untuk perisian tradisional, sekali gus mengurangkan margin keuntungan di seluruh sektor.
Indeks S&P 500 merosot 1.23% untuk mengakhiri sesi pada 6,798.40 mata, Dow Jones menyusut 1.20% kepada 48,908.72 mata, manakala Nasdaq yang berfokus kepada industri teknologi menjunam 1.59% kepada 22,540.59 mata.
Pada masa yang sama, pasaran buruh Amerika Syarikat (AS) menunjukkan tanda-tanda kemerosotan apabila tuntutan pengangguran baharu bagi minggu yang berakhir 31 Januari meningkat melebihi jangkaan.
Sementara itu, angka pembukaan pekerjaan pada Disember tahun lalu merosot ke paras terendah dalam tempoh lebih lima tahun.


























































