Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Lapan pemimpin tertinggi Eropah telah berhimpun untuk mempertahankan wilayah autonomi Denmark, Greenland susulan peningkatan ancaman daripada Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mahu mengambil alih pulau tersebut.
Dalam satu kenyataan bersama, para pemimpin Eropah menegaskan bahawa keselamatan Greenland mesti dijamin secara kolektif oleh NATO dengan penuh rasa tanggungjawab terhadap aspirasi rakyatnya.
Mereka turut menekankan bahawa sekutu Eropah kini sedang meningkatkan usaha dari segi aktiviti pelaburan bagi memastikan wilayah Artik selamat daripada sebarang ancaman musuh, memandangkan kerajaan Denmark dan Greenland merupakan sebahagian daripada NATO.
Kenyataan tersebut ditandatangani oleh Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen, Presiden Perancis, Emmanuel Macron, Canselor Jerman, Friedrich Merz, Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, Perdana Menteri United Kingdom (UK), Keir Starmer, Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni dan Perdana Menteri Poland, Donald Tusk.
Ia turut mendapat sokongan daripada pemimpin Belanda, Greece, Luxembourg dan Slovenia.
Perdana Menteri Belgium, Bart De Wever juga menyatakan sokongan terhadap seruan Frederiksen supaya kedaulatan dalam kalangan sekutu NATO sentiasa dihormati.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Wever berkata Eropah akan menjadi sekutu yang lebih kuat apabila bekerjasama dan bukannya berpecah belah.
Dalam pada itu, kerajaan Greenland semalam memohon pertemuan segera dengan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio bagi membincangkan isu tuntutan terhadap Greenland.
Sementara itu, Frederiksen telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Kanada, Mark Carney untuk membincangkan isu keselamatan di Artik.
Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada Kanada atas sokongan padu yang diberikan terhadap Denmark dalam mendepani situasi semasa.


























































