Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Presiden Rusia, Vladimir Putin telah memberi maklum balas terhadap jemputan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menyertai ‘Lembaga Keamanan’ iaitu sebuah badan organisasi antarabangsa baharu yang ditubuhkan untuk menangani konflik serantau termasuk isu Israel-Palestin.
Putin menjelaskan bahawa Rusia kini bersedia untuk menyumbangkan peruntukan bernilai $1 bilion kepada majlis tersebut dengan menggunakan aset Rusia yang dibekukan di AS.
Beliau menyampaikan perkara tersebut dalam satu ucapan kepada Majlis Keselamatan Rusia semalam.
Menurut laporan media RT, Rusia boleh menyediakan $1 bilion dengan kadar segera, walaupun pihak mereka masih belum membuat keputusan berhubung penyertaan dalam lembaga keamanan tersebut.
Beliau turut menyatakan bahawa dana itu boleh diambil daripada aset Rusia yang telah dibekukan oleh pentadbiran AS sebelum ini.
Penubuhan organisasi itu memberikan tumpuan kepada keamanan di wilayah Timur Tengah, terutamanya melibatkan pembinaan semula Gaza dan memenuhi keperluan kemanusiaan di Palestin.
Pada masa yang sama, Putin juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada Trump atas jemputan ke organisasi kemanusiaan itu.
Walau bagaimanapun, Putin memerlukan lebih banyak masa untuk mengkaji tawaran berkenaan, serta berunding dengan rakan strategik Rusia yang lain.
Pembentukan Lembaga Keamanan Gaza merupakan sebahagian daripada Faza 2 Pelan Keamanan 20 Perkara yang bertujuan untuk menamatkan konflik di Timur Tengah, sekali gus mewujudkan kestabilan dan menyelia pembinaan semula pasca konflik di Semenanjung Gaza.
Lembaga Keamanan ini telah dicadangkan oleh Trump pada September tahun lalu sebagai sebahagian daripada rancangan untuk menamatkan perang di Gaza, selain berfungsi sebagai pengantara bagi konflik global secara meluas.























































