Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Mata wang ringgit dibuka stabil berbanding dolar AS, didorong oleh langkah pragmatik kerajaan Malaysia dalam mengimbangi disiplin fiskal dan kos sara hidup menerusi penyasaran subsidi bahan api.
Langkah pelarasan yang berkuat kuasa 1 April itu diambil sebagai respon proaktif terhadap ketegangan konflik yang berterusan di Asia Barat.
Pada jam 10:18 pagi, ringgit didagangkan pada 4.0050 iaitu menyusut 0.33% berbanding dolar AS sejak dibuka pada awal dagangan Jumaat di sesi Asia.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelarasan sementara had bulanan pembelian BUDI95 kepada 200 liter berbanding 300 liter sebelum ini.
Menurut Anwar, pengurangan kuota ini tidak menjejaskan majoriti rakyat kerana hampir 90% pengguna menggunakan kurang daripada 200 liter petrol sebulan.
Dalam masa yang sama, kerajaan MADANI memberi jaminan bahawa harga petrol bersubsidi BUDI95 akan kekal tidak berubah pada RM1.99 seliter.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memaklumkan bahawa langkah itu mencerminkan usaha kerajaan untuk mengekalkan disiplin fiskal tanpa membebankan golongan isi rumah.
Beliau turut menyatakan bahawa langkah proaktif kerajaan dalam menangani kesan rantaian konflik di Iran dijangka memberi suntikan positif kepada nilai ringgit.
Pada pembukaan, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.
Ia meningkat berbanding pound British kepada 5.3143/3403 daripada 5.3301/3348, melonjak berbanding yen Jepun kepada 2.4951/5077 daripada 2.5025/5049 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.5969/6194 daripada 4.6140/6180 sebelum ini.
Sementara itu, ringgit diniagakan lebih kukuh berbanding mata wang ASEAN.
Ia menambah berbanding dolar Singapura kepada 3.0994/1148 daripada 3.1102/1132 dan menaik berbanding baht Thailand kepada 12.0868/1566 daripada 12.1529/1695.
Ia juga menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 235.7/237.0 daripada 236.1/236.4 dan mencanak berbanding peso Filipina kepada 6.61/6.65 daripada 6.62/6.63 sebelumnya.
























































