Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Mata wang ringgit dibuka sedikit tinggi berbanding dolar AS pada Rabu ketika sebahagian pegawai Federal Reserve (Fed) memberikan pandangan bercampur-campur mengenai kadar faedah.
Pada jam 9:31 pagi, ringgit didagangkan pada 3.9250 iaitu melonjak 0.13% berbanding dolar AS sejak dibuka pada awal dagangan Rabu di sesi Asia.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memaklumkan bahawa Gabenor Fed, Stephen Miran menyifatkan kadar dasar semalam adalah terhad dan harus diturunkan bagi menyokong ekonomi Amerika Syarikat (AS).
Beliau turut menyatakan bahawa Presiden Richmond Fed, Tom Barkin mencadangkan kadar faedah tahun lalu merupakan pemotongan insurans bagi mengelakkan kelemahan berterusan dalam pasaran buruh AS.
Sebelum ini, bank pusat memutuskan untuk menangguhkan pemotongan kadar faedah pada mesyuarat pertamanya pada tahun 2026 dengan mengekalkan kadar dana persekutuan (FFR) dalam lindungan 3.50 hingga 3.75%.
Pada pembukaan, ringgit didagangkan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang lain.
Ia merosot berbanding pound British kepada 5.3749/5.3900 daripada 5.3704/5.3793, menyusut berbanding euro kepada 4.6370/4.6500 daripada 4.6341/4.6417, namun meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5189/2.5262 daripada 2.5210/2.5253 sebelum ini.
Ringgit turut diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ia melonjak berbanding dolar Singapura kepada 3.0898/3.0990 daripada 3.0919/3.0973, naik semula berbanding baht Thailand kepada 12.3942/12.4376 daripada 12.4584/12.4845 dan mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 234.2/235.0 daripada 234.5/235.0 sebelumnya.
Bagaimanapun, ia jatuh berbanding peso Filipina kepada 6.71/6.73 daripada 6.66/6.68 semalam. – BERNAMA





















































