Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Mata wang ringgit ditutup sedikit rendah berbanding dolar AS selepas data ekonomi Amerika Syarikat (AS) dilaporkan lebih kukuh semalam.
Pada jam 10:31 pagi, ringgit dibuka pada 4.0630 iaitu menyusut 0.15% berbanding dolar AS sejak dibuka pada awal dagangan Khamis di sesi Asia.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan menjelaskan bahawa data ekonomi AS menunjukkan peningkatan lebih kukuh, terutamanya Indeks Perkhidmatan Institut Pengurusan Bekalan (ISM).
Walau bagaimanapun, Indeks Dolar Asia Bloomberg dilihat kekal mendatar, sekali gus menunjukkan tiada peralihan risiko yang ketara daripada mata wang Asia.
Sementara itu, Indeks Pengurusan Pembelian (PMI) Sektor Perkhidmatan ISM AS mencecah ke paras tertinggi dalam tempoh 14 bulan dengan sektor perkhidmatan kekal berada pada paras pengembangan bagi bulan ketiga berturut-turut sejak Disember tahun lalu.
Indeks tersebut meningkat kepada 54.4 pada Disember 2025 daripada 52.6 pada November 2025, sekali gus mencerminkan prestasi memberangsangkan dalam aktiviti ekonomi AS.
Pada pembukaan, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang lain.
Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5876/5960 daripada 2.5920/5954 semalam, melonjak berbanding euro kepada 4.7350/7502 daripada 4.7394/7453 dan naik berbanding pound British kepada 5.4572/4747 daripada 5.4732/4799 sebelum ini.
Ringgit turut diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Ia meningkat sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 241.6/242.5 daripada 241.7/242.1 dan menambah berbanding dolar Singapura kepada 3.1613/1717 daripada 3.1641/1682.
Ia juga menokok berbanding baht Thailand kepada 12.9391/9906 daripada 12.9630/9852 dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.83/6.86 daripada 6.83/6.84. – Bernama
























































