Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Sebanyak RM150 juta baki peruntukan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang tidak dibelanjakan sehingga 31 Disember tahun lalu telah disalurkan kepada golongan kurang berkemampuan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan bahawa seramai 21 juta pengguna atau 96% daripada keseluruhan jumlah penerima direkodkan, dengan nilai transaksi di pasaran tempatan melebihi RM2.05 bilion pada tahun lalu.
Beliau menjelaskan bahawa sebanyak RM150 juta baki wang yang tidak dibelanjakan itu akan diagihkan kepada empat buah kumpulan iaitu penghuni pusat perlindungan mangsa keganasan rumah tangga di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Selain itu, dana tersebut akan disumbangkan kepada pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) dan pelajar berkeperluan khas di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).
Golongan ketiga pula terdiri daripada pesakit miskin di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) dengan wang berkenaan akan digunakan untuk membeli peranti perubatan.
Keempat, penubuhan ‘Food Bank’ atau dapur siswa dengan peruntukan khusus sebanyak RM15 juta di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Menurut Amir Hamzah, penyusunan semula dana ini bertujuan menjamin kelestarian pengurusan kewangan awam, di samping memperkukuh sistem perlindungan sosial negara secara menyeluruh.
Langkah ini membuktikan keupayaan kerajaan MADANI dalam mengurus dana awam secara fleksibel, serta responsif terhadap keperluan semasa rakyat.
Kenyataan itu disampaikan semasa beliau menjawab soalan daripada Datuk Seri Dr Zaliha binti Mustafa (PH-Sekijang) mengenai jumlah peruntukan program SARA yang telah dibelanjakan melalui sistem MyKasih sepanjang tahun 2025.



























































