Amerika Syarikat dan Iran capai persetujuan awal gencatan senjata selama 60 hari sementara menanti keputusan muktamad daripada Presiden Donald Trump.
Washington dan Tehran dilaporkan telah mencapai draf persetujuan untuk melanjutkan gencatan senjata selama 60 hari lagi. Walaupun kemajuan positif sedang berlaku, dunia kini menanti tandatangan Presiden Trump yang masih meneliti terma perjanjian tersebut bagi memastikan tiada “perjanjian buruk” dimeterai.
Antara terma utama yang dipersetujui secara tentatif termasuklah keperluan untuk Iran membersihkan semua periuk api di Selat Hormuz dalam tempoh 30 hari. Langkah ini kritikal bagi memastikan aliran kapal dagang kembali lancar tanpa sebarang sekatan, sekaligus meredakan tekanan inflasi yang membebankan poket rakyat.
Naib Presiden JD Vance memberikan bayangan bahawa rundingan sedang bergerak ke arah yang betul walaupun masih terdapat perbincangan teliti mengenai keupayaan nuklear Tehran.
Amerika Syarikat tetap teguh dengan tiga syarat utama iaitu pembukaan semula selat, penyerahan uranium diperkaya dan penamatan program nuklear Iran.
Berita mengenai potensi perdamaian ini serta merta memberikan kesan kepada pasaran komoditi dunia. Harga minyak mentah Amerika susut kira kira 0.4 peratus kepada 88.60 dolar setong awal pagi Jumaat, sementara pasaran saham di Asia pula dijangka akan mencatatkan kenaikan ekoran sentimen pelabur yang semakin pulih.
Di sebalik sinar harapan ini, masih terdapat beberapa “duri dalam daging” yang perlu diselesaikan. Iran menuntut pelepasan semua aset kewangan mereka yang dibekukan berjumlah 12 bilion dolar, manakala isu ketegangan di Lubnan turut menambah kerumitan dalam mencapai kata sepakat yang menyeluruh bagi menamatkan peperangan.


























































