Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Kerajaan melalui Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) mengambil langkah tegas dengan menyekat MyKad individu yang didapati menyalahgunakan subsidi petrol di bawah Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Tindakan ini susulan penularan rakaman video di media sosial yang memaparkan dua individu mengisi petrol RON95 bersubsidi ke dalam tong atau bekas kosong, satu perbuatan yang jelas melanggar syarat program subsidi tersebut.
Menurut kenyataan MOF, hasil siasatan mendapati individu terlibat adalah warganegara Malaysia dan pemegang MyKad.
Sehubungan itu, kad pengenalan yang digunakan dalam transaksi berkenaan akan disekat, termasuk pemilik kenderaan tersebut daripada terus menikmati manfaat subsidi BUDI95.
MOF menegaskan bahawa penyalahgunaan seperti ini bukan sahaja menyalahi peraturan, malah boleh menjejaskan usaha kerajaan dalam memastikan pengagihan subsidi yang telus, bersasar dan benar-benar sampai kepada golongan yang layak.
Dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu, kerajaan memberi penekanan serius terhadap pengurusan subsidi bahan api bagi mengelakkan ketirisan serta memastikan kestabilan bekalan dan harga.
Terdahulu, video tular tersebut menunjukkan tindakan mencurigakan di sebuah stesen minyak, apabila petrol RON95 diisi ke dalam tong yang diletakkan di bahagian belakang kenderaan telah mencetuskan kebimbangan orang ramai mengenai salah guna subsidi.
MOF turut merakamkan penghargaan kepada rakyat yang peka dan tampil menyalurkan maklumat berkaitan isu ini.
Usaha penguatkuasaan akan terus diperkukuhkan bagi membanteras aktiviti tidak bertanggungjawab seperti ini.
Orang ramai digalakkan untuk terus melaporkan sebarang penyalahgunaan melalui Pusat Khidmat BUDI MADANI menerusi talian 1300-88-9595, WhatsApp +603-26314595, atau e-mel ke [email protected]

























































