Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Lembaga Tabung Haji (TH) kini secara rasminya muncul sebagai pemegang saham utama AEON Co (M) Bhd susulan pemerolehan baharu dalam syarikat pengendali peruncitan dan beli-belah berkenaan.
Tabung Haji berjaya melepasi ambang pendedahan 5% berikutan pemerolehan 250,000 saham yang mewakili 0.018% kepentingan tambahan pada Selasa lalu.
Menurut pemfailan bursa syarikat semalam, pembelian terbaharu itu telah meningkatkan jumlah pegangan Tabung Haji dalam AEON Co kepada 5.0135 atau kira-kira 70.39 juta saham.
Selain Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) turut merupakan pemegang saham utama AEON Co dengan 7.618 kepentingan.
Sementara itu, syarikat induknya, AEON Co Ltd kekal sebagai pemegang saham terbesar AEON selepas memiliki kepentingan sebanyak 52.02%.
Sepanjang bulan lalu, Tabung Haji juga kembali menjadi pemegang saham utama dalam SKP Resources Bhd dengan pegangan 5.092% selepas lebih 10 tahun, selain memegang 5.006% dalam Orkim Bhd yang baru disenaraikan.
Saham AEON Co ditutup pada RM1.33, meningkat satu sen atau 0.76%, sekali gus menjadikan nilai pasaran kumpulan tersebut bernilai RM1.87 bilion.
























































