Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Tenaga Nasional Berhad mengumumkan pelarasan bahan api automatik (AFA) bagi April ditetapkan pada rebat 0.47 sen/kWh, lebih rendah berbanding 2.15 sen/kWh pada Mac.
AFA merupakan mekanisme pelarasan tarif elektrik bulanan yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Tenaga pada Julai tahun lalu, berdasarkan perubahan kos bahan api seperti gas dan arang batu serta kadar pertukaran.
Mekanisme ini menggantikan sistem ICPT yang sebelum ini disemak setiap enam bulan.
Pengurangan kadar rebat ini menyebabkan kos elektrik meningkat apabila pengguna menerima rebat lebih kecil sebanyak 1.68 sen/kWh pada April.
Sebagai gambaran, penggunaan 800kWh akan menyaksikan bil meningkat daripada RM328.34 pada Mac kepada RM342.05 pada April.
Walau bagaimanapun, pengguna domestik dengan penggunaan di bawah 600kWh sebulan dikecualikan daripada pelaksanaan AFA, sama ada dalam bentuk rebat atau surcaj.
Selain itu, AFA tidak terpakai kepada pengguna yang melanggan tarif elektrik hijau, yang menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui.
Dari segi kawalan, pelarasan AFA dalam bentuk surcaj dihadkan kepada maksimum 10% daripada tarif penjanaan bulanan, manakala sebarang kenaikan melebihi had tersebut memerlukan kelulusan Kabinet. Tiada had dikenakan bagi pemberian rebat.
Berdasarkan unjuran tiga bulan oleh TNB, kadar rebat dijangka kekal rendah dengan anggaran 0.39 sen/kWh pada Mei, 0.91 sen/kWh pada Jun, dan 0.08 sen/kWh pada Julai 2026.























































