Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Dolar AS mengalami penurunan mendadak pada hari Selasa menjelang beberapa data ekonomi yang akan membentuk hala tuju kadar faedah, sementara yen mengekalkan kenaikannya susulan kemenangan besar Perdana Menteri Sanae Takaichi dalam pilihan raya.
Pada jam 9.40 pagi, Indeks Dolar AS (DXY) berada pada paras 96.922 mata iaitu stabil 0.06% sejak ia dibuka pada awal dagangan Selasa di sesi Asia.
Penganalisis menjangkakan yen Jepun akan terus melemah dalam jangka masa panjang, dengan tumpuan pasaran beralih kepada hala tuju dasar fiskal di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Sanae Takaichi.
Sejak beliau mengambil alih kepimpinan Parti Liberal Demokrat (LDP) pada Oktober lalu, yen telah susut sekitar 6%, mencerminkan kebimbangan pelabur terhadap potensi peluasan rangsangan fiskal.
Dasar fiskal yang dijangka kekal longgar di bawah pentadbiran Takaichi yang lebih agresif berpotensi menyokong pengukuhan dolar berbanding yen.
Pasaran meramalkan pasangan USD/JPY berupaya meningkat ke paras 164 menjelang akhir tahun, selari dengan jangkaan pengekalan perbezaan kadar faedah yang ketara antara Amerika Syarikat dan Jepun.
Sementara itu, perhatian pelabur minggu ini tertumpu kepada data ekonomi utama Amerika Syarikat, khususnya laporan bulanan pekerjaan dan inflasi Indeks Harga Pengguna (CPI).
Data berkenaan dijangka sedikit terjejas susulan penutupan kerajaan selama tiga hari yang baru sahaja berakhir, sekali gus meningkatkan ketidaktentuan terhadap hala tuju ekonomi AS dalam jangka pendek.
Penasihat ekonomi White House, Kevin Hassett, menjangkakan pertumbuhan pekerjaan AS akan menjadi lebih sederhana dalam beberapa bulan akan datang, dipengaruhi oleh pertumbuhan tenaga buruh yang perlahan dan peningkatan produktiviti.
Keadaan ini mendorong pelabur menilai semula sama ada tekanan dalam pasaran buruh benar-benar telah mereda.
Pasaran kini memberi tumpuan penuh terhadap beberapa siri data ekonomi utama AS, termasuk laporan ADP NFP dan data inflasi, yang dijangka menjadi pemacu utama pergerakan dolar dalam jangka masa terdekat.
Tekanan ke atas dolar dijangka berterusan sekiranya pertumbuhan pekerjaan mencatat bacaan di bawah jangkaan pasaran.
Menurut tinjauan Reuters, laporan ADP NFP Januari, yang akan diumumkan pada Rabu, dijangka menunjukkan peningkatan sekitar 70,000 pekerjaan.


























































