Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Wall Street meneruskan prestasi cemerlang pada sesi dagangan Rabu selepas saham cip kecerdasan buatan (AI) melonjak tinggi berikutan peningkatan semula optimisme terhadap teknologi tersebut.
Dari segi prestasi indeks utama, S&P 500 meningkat 0.62% kepada 6,944.82 mata, Dow Jones melonjak 0.99% kepada 49,462.08 mata dan Nasdaq Composite pula menokok 0.65% kepada 23,547.17 mata.
Saham Moderna melonjak hampir 11% selepas BofA Global Research menaikkan sasaran harganya, sekali gus memacu indeks penjagaan kesihatan S&P 500 meningkat sebanyak 1.96%.
Saham teknologi memori dan storan turut meningkat selepas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nvidia, Jensen Huang mengumumkan platform cip terbaharu yang merangkumi platform storan data generasi baharu di Pameran Elektrik Pengguna (CES) di Las Vegas.
Saham SanDisk melonjak melebihi 27%, Western Digital meningkat 17%, Seagate Technology mengukuh 14% dan Micron Technology menambah 10% dengan keempat-empat saham mencecah paras tertinggi.
Indeks cip PHLX meningkat 2.75% ke paras tertinggi sepanjang masa, sekali gus mencatatkan keuntungan sebanyak 8% bagi tempoh tiga sesi dagangan pertama tahun 2026.
Dalam pada itu, data terbaharu menunjukkan penurunan dalam PMI Komposit akhir S&P 500 kepada 5.7 pada Disember berbanding 53.0 pada bulan sebelumnya, manakala PMI perkhidmatan pula menyusut kepada 52.5 daripada 52.0.

























































