Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Pasaran saham global gagal mengekalkan momentum cemerlang pada sesi dagangan Rabu apabila saham sektor kewangan mengalami kemerosotan.
Kejatuhan ini disebabkan oleh cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump supaya had satu tahun ke atas kadar faedah kad kredit ditetapkan pada 10% selama tempoh setahun, bermula 20 Januari depan.
Langkah tersebut dikuatiri akan menjejaskan margin keuntungan syarikat kewangan secara langsung.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JPMorgan, Jamie Dimon turut memberi amaran bahawa rancangan Trump itu berisiko memberi kesan buruk kepada pengguna dalam tempoh jangka panjang.
Pengumuman tersebut menyaksikan saham Visa merosot 4.5%, Mastercard jatuh 3.8% dan sektor kewangan menyusut 1.8%, sekali gus mendahului penurunan dalam S&P 500.
Saham JPMorgan jatuh 4.2% apabila yuran perbankan pelaburan merosot, walaupun keuntungan suku tahunan melebihi jangkaan.
Dalam pada itu, beberapa bank utama lain yang dijadual mengumumkan keputusan suku tahunan pada minggu ini turut didagangkan lebih rendah, meskipun penganalisis menjangkakan kebanyakan bank akan merekodkan prestasi lebih kukuh untuk suku terakhir tahun 2025.
Dari segi prestasi indeks utama, indeks Dow Jones merosot 0.80% kepada 398.21 mata, S&P 500 menjunam 0.19% kepada 13.53 mata, manakala Nasdaq Composite yang berfokus kepada sektor teknologi menyusut 0.10% kepada 24.03 mata.
Jumlah dagangan di bursa AS didagangkan bernilai $18.68 bilion, berbanding purata $16.4 bilion untuk tempoh 20 hari dagangan terakhir.























































