Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Bitcoin sedang melalui satu fasa yang cukup mencabar kerana walaupun harganya kelihatan stabil di bawah paras $70,000, realitinya tekanan di sebalik tabir semakin memuncak terutamanya bagi pelabur besar yang dikenali sebagai ‘whale’.
Ketika artikel ini ditulis, harga Bitcoin kini berada di paras $68,881 iaitu menurun 0.02% sejak ia dibuka pada awal dagangan Isnin di sesi Asia.
Data terkini daripada Glassnode mendedahkan bahawa wallet yang memegang antara 100 hingga 10,000 BTC kini merekodkan kerugian harian melebihi $200 juta.
Tekanan ini turut dirasai oleh golongan ‘Long-Term Holders’, pelabur yang sebelum ini terkenal dengan ketahanan mereka.
Mereka yang membeli Bitcoin lebih enam bulan lalu, khususnya ketika harga berada di puncak, kini mula capitulate atau menyerah kalah dengan menjual dalam kerugian.
Trend ini semakin ketara sejak penghujung 2025, menunjukkan bahawa keyakinan dalam kalangan pelabur berpengalaman juga mula goyah.
Ia sering menjadi sebahagian daripada kitaran pasaran menurun, di mana pelabur yang tidak tahan tekanan akan keluar dari pasaran.
Proses ini dikenali sebagai ‘flush-out’ iaitu satu fasa pembersihan sebelum pasaran menemui kestabilan semula.
Walaupun begitu, menurut penganalisis Glassnode, pasaran masih belum mencapai tahap ‘keletihan jualan’ yang biasanya menandakan kemuncak kejatuhan.
Untuk itu berlaku, kadar kerugian harian perlu merosot jauh lebih rendah, sekitar bawah $25 juta.
Dalam masa yang sama, sentimen pasaran turut menunjukkan tanda-tanda kebimbangan yang ketara condong ke arah negatif.
Menurut Santiment, unsur FUD kembali menguasai dengan lebih ramai pelabur bersikap pesimis berbanding optimis. Faktor seperti ketegangan geopolitik dan isu regulasi terus menekan pergerakan harga.
























































