Ekonomi US akan menjadi buah mulut dalam pasaran selepas data pekerjaan yang mengecewakan minggu lalu. Walaubagaimanapun, pasaran masih melihat kadar akan dinaikkan pada mesyuarat Jun.
Minggu ini kita tidak akan mendapat panduan lanjut daripada ahli-ahli The Fed selepas data pekerjaan dikeluarkan pada Jumaat. Ahli The Fed tidak akan membuat sebarang komen tentang ekonomi dan polisi monetari dalam tempoh ini menjelang mesyuarat 13-14 Jun.
Perkembangan terbaru dalam risiko politik US akan terus diperhatikan minggu ini dengan bekas pengarah FBI James Comey akan memberi keterangan di hadapan Kongres.
Di Eropah, jangan lupa kita ada dua perisitiwa besar dan penting dalam kalendar ekonomi minggu ini iaitu mesyuarat European Central Bank (ECB) dan Pilihanraya Umum UK yang dijangka akan mendominasi pasaran.
1) Mesyuarat ECB (Khamis, 7.45 pm)
ECB akan mengumumkan polisi semasa bank pusat pada pukul 7.45 malam dan Presiden Draghi akan mengadakan sidang media pada pukul 8.30 malam. Mesyuarat kali ini adalah penting kerana ia akan mewakili nada ECB pada separuh kedua tahun 2017.
Walaubagaimanapun, potensi untuk polisi semasa diubah adalah sangat kecil, tetapi mungkin akan terdapat perubahan dalam nada kenyataan dan seikit perubahan dalam panduan ke hadapan (forward guidance) bank pusat.
2) Pilihanraya umum United Kingdom (Khamis, sepanjang hari)
Pilihanraya akan diadakan pada Khamis ini 8 Jun. Tinjauan pendapat yang dibuat pada awal kempen pilihanraya meletakkan kedudukan Parti Konservatif yang kukuh berbanding parti-parti lain. Namun, Parti Buruh yang menjadi pesaing hampir Parti Konservatif menunjukkan persaingan semakin sengit menjelang pilihanraya umum. Hal ini lah yang menjadi penggerak utama pasaran di UK khususnya matawang GBP sejak beberapa minggu lalu.
Seperti yang dibincangkan sebelum ini, pasaran memberi tumpuan kepada prestasi Parti Konservatif yang semakin goyah apabila tinjauan menunjukkan Parti Buruh semakin mendapat sokongan. Pasaran melihat perkara ini jika diterjemahkan ke dalam pilihanraya sebenar akan memberi ketidaktentuan kepada rundingan Brexit yang dilihat sebagai faktor negatif.
3) ISM Indeks PMI Sektor Perkhidmatan US (Isnin 10 pm)
Laporan data yang mengukur prestasi sektor pembuatan US ini akan dikeluarkan hari ini pukul 10 malam. Sejak beberapa minggu lalu, terdapat sedikit ketidaktentuan dalam prestasi ekonomi US dengan data-data yang bercampur-campur.
Data sektor perkhidmatan ini akan menjadi penentu kepada ekonomi US kerana sektor ini merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negara. Pasaran semakin ragu kepada ekonomi US selepas data pekerjaan minggu lalu yang mengecewakan.
Oleh itu, pasaran akan menjadi lebih sensitif jika terdapat bukti kelemahan dalam data ini. Jangkaan bagi data kali ini ialah bacaan yang sedikit meleset berbanding sebelum ini. Komponen harga dan pekerjaan akan menjadi tumpuan pasaran.
4) Penetapan Kadar RBA (Selasa,12.30 pm)
Reserve Bank of Australia, RBA akan mengumumkan polisi terbaru mereka pada Selasa. Pasaran menjangkakan bank pusat akan mengekalkan kadarnya di paras 1.50%.
Dalam mesyuarat sebelum ini, RBA menaikkan ramalan pertumbuhannya dan inflasi dijangka sampai ke sasaran 2.0% seawal 2018. Pasaran akan melihat sama ada bukti-bukti terbaru menyokong kepada keyakinan tersebut.
Kecenderungan (bias) dalam polisi kali ini adalah penting bagi melihat sentimen semasa dalam ekonomi Austalia.
5) Data pekerjaan Kanada (Jumaat, 8.30 pm)
Data pekerjaan ini akan dikeluarkan pada 9 Jun, hari terakhir dagangan minggu ini. Tambahan pekerjaan pada April adalah rendah daripada jangkaan, di mana sembilan bulan berturut-turut sebelum itu data begitu kukuh dengan melebihi jangkaan pasaran.
Namun, Bank of Canada dilihat begitu yakin dengan keadaan semasa ekonomi pada mesyuarat Mei dan pengukuhan dalam pekerjaan kali ini sudah tentu dilihat lebih memberi keyakinan kepada pasaran. Pengukuhan dalam data ini juga akan menambah keyakinan bahawa lebihan kapasiti dalam ekonomi telah digunakan.
Akhir sekali, semoga berjaya kepada anda semua.