Tindakan mengejut OPEC pada hujung minggu untuk memotong pengeluarannya telah memacu saham-saham tempatan berkaitan tenaga untuk meningkat hari ini.
Indeks Tenaga Bursa, yang menjejaki harga saham berkaitan minyak dan gas, dibuka 20.69 mata lebih tinggi pada 857.50 pada awal dagangan pagi Isnin.
Harga minyak mentah dunia melonjak tinggi selepas Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya OPEC+ memutuskan untuk mengurangkan pengeluaran sebanyak 1.16 juta sehari.
Pengurangan yang tidak dijangka ini dibuat secara sukarela sebagai langkah berjaga-jaga OPEC yang bertujuan menyokong kestabilan pasaran minyak.
Antara saham-saham yang mendapat manfaat daripada pengumuman OPEC adalah Velesto Energy Bhd yang meningkat 4.76% kepada 22 sen, Hibiscus Petroleum Bhd naik 8.08% kepada RM1.07 dan Reach Energy Bhd tambah 7% kepada 7.5 sen.
Selain itu, Perdana Petroleum Bhd juga meningkat 8.11% kepada 20 sen dan KNM Group Bhd lonjak 22.22% kepada 5.5 sen.
MIDF Research dalam notanya berkata harga minyak yang lebih tinggi memberi petanda baik untuk sektor huluan dari segi aktiviti penerokaan dan pengeluaran.
Tambahnya lagi, memandangkan Malaysia mempunyai lebih 1,300 syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas, sektor itu akan menjadi penerima utama kenaikan harga minyak mentah dalam tempoh terdekat.