Komuniti Dogecoin (DOGE) nampaknya tidak sabar menunggu ketibaan 8 Mei.
Mana tidaknya, pada hari tersebut pengasas Tesla, Elon Musk yang juga penyokong utama DOGE bakal tampil sebagai pengacara rancangan realiti New York, Saturday Night Live (SNL).
Dengan kemunculan pertamanya dalam rancangan komedi, pelabur menjangkakan harga DOGE sedikit sebanyak akan terkesan, termasuk pasaran kripto yang lain.
Sama ada akan membawa kepada lonjakan harga atau sebaliknya, ia sukar dijangka.
Lagi-lagi sejak semalam Dogecoin mula menunjukkan penyusutan harga dari paras tertinggi sepanjang masa (ATH) hampir $0.7 ke rekod terkini, $0.52. Dalam 24 jam, matawang diinspirasikan oleh shiba inu ini telah jatuh lebih 19%.
Pelbagai tanggapan dan jangkaan terhadap harga DOGE. Namun, apa yang pasti dengan jumlah penonton SNL melebihi 9 juta merangkumi golongan 18-50 tahun, termasuk pula dengan 53 juta pengikutnya di laman Twitter, tidak mustahil komuniti DOGE akan terus berkembang.
Selepas eTORO dan Gemini menyenaraikan DOGE di platform masing-masing, lebih mudahlah pelabur berpotensi untuk mendapatkan matawang kripto itu.
Episod Elon Musk akan bersiaran di NBC pada Sabtu, 11:30 pm ET (Ahad, 11:30 pagi waktu Malaysia).