US dolar kembali bergerak lemah menyambung dagangan ke penghujung minggu ketika pelabur masih berdepan suasana pasaran yang tidak menentu.
Sejak kembali susut nilai pada sesi New York Selasa lalu, US dolar melanjutkan penyusutan sepanjang dagangan Rabu semalam sehingga bersambung ke sesi Asia pagi ini (Khamis).
Ketegangan perang dagang antara Amerika Syarikat (AS) dan China masih menyelubungi pasaran yang berjaga-jaga jika perkembangan semakin buruk.
Tindakan balas mungkin bakal menyusul selepas Presiden Donald Trump mengugut untuk mengenakan 100% tarif tambahan susulan tidak berpuas hati dengan langkah China mengehadkan eksport nadir bumi.
Selain itu, pelabur juga mencari petunjuk tambahan menjelang mesyuarat FOMC di penghujung Oktober ini walaupun beberapa data telah ditangguhkan penerbitan ekoran situasi penutupan kerajaan di AS.
Ucapan Pengerusi Fed Jerome Powell menjadi tumpuan minggu ini yang memberi isyarat bank pusat masih terbuka untuk pemotongan lanjut kadar faedah.
Menurut Powell, kekurangan data yang diterbitkan tidak menjadi halangan untuk bank pusat menilai unjuran ekonomi.
Kebanyakan mata wang utama pamer prestasi positif, mengambil kesempatan di atas kelemahan semasa US dolar.
Namun dolar Australia merosot pada sesi Asia pagi ini selepas laporan pekerjaan diterbitkan dengan bacaan angka ‘merah’.
Selain pertambahan pekerjaan lemah berbanding ramalan, kadar pengangguran di Australia pada September melonjak 4.5%, iaitu paras tertinggi dalam tempoh 4 tahun.
Laporan pertumbuhan ekonomi UK akan menjadi tumpuan di sesi Eropah yang bakal mempengaruhi pergerakan mata wang Pound.