Logam berharga emas bergerak perlahan pada awal minggu di tengah-tengah kewaspadaan pelabur menantikan terbitan data inflasi Amerika Syarikat.
Pada sesi Asia, spot emas didagangkan berlegar pada sekitar harga $1,922 per auns, manakala niaga hadapan emas pula sedikit berubah pada $1,946 per auns.
Kemerosotan US dolar pada awal minggu gagal dimanfaatkan oleh logam kuning itu untuk bergerak lebih tinggi.
Pelabur kini lebih berhati-hati sementara menantikan pengeluaran data inflasi pengguna (CPI) pada hari Rabu dan inflasi pengeluar (PPI) AS pada hari Khamis.
Kedua-dua data itu bakal dijadikan petunjuk penting untuk penetapan dasar Federal Reserve (Fed) seterusnya pada mesyuarat polisi FOMC yang akan berlangsung minggu depan.
Sepanjang minggu lalu, penggubal dasar Fed telah menyatakan sokongan kuat untuk mengekalkan pendirian semasa pada mesyuarat seterusnya.
Pun begitu, daya tarikan logam berharga emas kekal terjejas berikutan jangkaan prestasi kukuh US dolar yang berterusan.
Anda juga boleh mengintai peluang-peluang yang disajikan oleh INTRADAY melalui program komuniti, pendaftaran akaun trading dan bermacam-macam lagi. Untuk info lanjut, KLIK DI SINI.