Dalam meneliti petunjuk terbaru berkenaan dasar monetari Federal Reserve (Fed), pasaran memberi tumpuan terhadap kenyataan yang dikemukakan oleh Presiden Fed Cleveland Loretta Mester dan gabenor Michelle Bowman yang menghadiri perbincangan “Policy Panel Discussion” di bank pusat Jepun (BOJ) hari ini.
Menurut Bowman, beliau berpandangan adalah penting untuk mengurangkan saiz kunci kira-kira (balance sheet) secepat mungkin ketika ekonomi masih lagi kukuh.
Sementara, Fed Mester pula lebih menginginkan kenyataan FOMC untuk lebih teliti menilai tahap ekonomi semasa yang boleh mempengaruhi unjuran pada masa hadapan.
Beliau berharap Fed akan membentangkan unjuran polisi dan metrik ekonomi yang lebih jelas supaya penilaian dapat dibuat oleh para pemain pasaran terhadap unjuran polisi.
Tumpuan selanjutnya akan terarah kepada Fed Minneapolis Neel Kashkari yang akan berucap sebagai panel di acara Barclays-CEPR International Monetary Policy Forum di awal sesi New York nanti.
Seterusnya, gabenor Lisa Cook serta Fed San Francisco Mary Daly akan berikan pandangan mereka dalam perbincangan di acara berasingan.
Masih tiada petunjuk dari ahli-ahli Fed berkenaan langkah pemotongan kadar faedah dengan pasaran meletakkan 50% jangkaan untuk kadar faedah masih dikekalkan pada September.
Tumpuan pada data ekonomi sebagai petunjuk seterusnya adalah terhadap data indeks harga PCE yang mengukur perbelanjaan peribadi pengguna di Amerika Syarikat (AS) sebagai salah satu indikator komponen inflasi buat Fed.