AirAsia Catat Rugi Bersih Lebih RM800 Juta!

381

AirAsia Group Bhd telah mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM803.85 juta untuk suku pertama yang berakhir pada 31 Mac 2020 berbanding keuntungan bersih RM96.09 juta pada tahun yang lalu. Jumlah tersebut adalah kerugian bersih terbesar yang dilaporkan oleh syarikat penerbangan tambang murah itu sejak penyenaraiannya di Bursa Malaysia pada tahun 2004!

Syarikat penerbangan tambang rendah itu mendedahkan bahawa kerugian bersih yang direkodkan itu sebahagiannya dipengaruhi oleh kejatuhan harga minyak mentah pada bulan Mac dan jumlah susut nilai yang besar.

Oleh yang demikian, pendapatan AirAsia telah merekodkan penurunan sebanyak 15.3% iaitu kepada RM2.31 bilion daripada RM2.73 bilion sebelumnya. Manakala pendapatan sampingannya turun 16% iaitu sebanyak RM556 juta, dipengaruhi oleh syarikat penerbangan tambahan yang merosot 28% terutamanya disebabkan oleh penghapusan yuran pemprosesan dan 22% pengurangan penumpang yang dibawa.

Walau bagaimanapun, syarikat penerbangan tersebut kini didakwa berada dalam fasa pemulihan. Sebanyak 365 penerbangan telah pun beroperasi setiap hari meskipun sempadan antarabangsa masih belum dibuka. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes mengatakan bahawa beliau kekal positif terhadap kemajuan yang telah dicapai dalam mengurangkan perbelanjaan tunai sekurang-kurangnya 50% tahun ini. Ianya akan menjadikan AirAsia lebih kuat sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka di rantau ini.

Selain itu, beliau mendedahkan bahawa kumpulan itu telah memohon pinjaman bank di negara-negara operasinya untuk menampung kos operasi syarikat penerbangan itu.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat