Alipay Dan Tujuh Lagi Aplikasi Berdepan Sekatan

297

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menandatangani perintah eksekutif yang menyekat segala transaksi dengan lapan aplikasi milik China.

Aplikasi berkenaan melibatkan platform pembayaran popular, Alipay serta QQ Wallet dan WeChat pay.

Perintah tersebut yang akan berkuatkuasa dalam tempoh 45 hari, dilaksanakan selepas mendakwa semua aplikasi itu memberi ancaman kepada keselamatan nasional AS.

Selain itu, wujud kemungkinan aplikasi itu digunakan untuk menjejaki dan mengumpul data-data peribadi kakitangn awam AS.

Tencent QQ, CamScanner, SHAREit, VMate dan WPS Office turut berada dalam senarai sekatan tersebut.

“AS perlu mengambil langkah agresit terhadap sesiapa sahaja yang membangunkan atau menguasai aplikasi perisian China bagi melindungi keselamatan nasional kita,” kata perintah terbabit.

Pentadbiran Trump dilihat menambahkan tekanan terhadap syarikat-syarikat China di bulan-bulan terakhir beliau memegang jawatan sebagai Presiden, termasuklah sesiapa sahaja yang dilabel pengancam keselamatan nasional AS.

Trump sebelum ini telah menandatangani perintah eksekutif terhadap sebahagian firma China kerana didakwa berkongsi maklumat peribadi pengguna dengan kerajaan China, antaranya TikTok dan Huawei.

Sekatan terbaharu itu dibuat selepas White House cuba mendesak New York Stock Exchange (NYSE) mempertimbangkan untuk melakukan ‘pusingan U’ berhubung menyahsenarai tiga syarikat telekomunikasi China.

Minggu lalu, NYSE mengumumkan akan menyahsenarai China Mobile, China Telecom dan China Unicom.

Bagaimanapun, Isnin lalu, NYSE menarik balik keputusan itu dan memutuskan untuk tidak menyahsenarai ketiga-tiga syarikat berkenaan selepas berunding dengan pihak berkuasa AS.

Lapor Reuters, Setiausaha Perbendaharaan AS, Steven Mnuchin menghubungi Presiden NYSE, Stacey Cunningham untuk menyatakan beliau tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat