Menuju ke penghujung minggu, komoditi hitam didagangkan stabil pada sesi Asia ketika pengeluar tenaga AS di Teluk Mexico terpaksa menutup hampir 90% pengeluaran di wilayah itu dalam persediaan menghadapi Taufan Laura.
Minyak mentah Brent didagangkan meningkat pada $46.23 setong, manakala WTI Amerika Syarikat pula diniagakan stabil pada $43.39 setong. Kedua-dua penanda aras tersebut kekal didagangkan di tahap tertinggi 5 bulan.
Taufan Laura dilaporkan bertambah kuat pada Rabu sehingga dikategorikan sebagai taufan kategori 4 dan ketika ini ia diramalkan akan membawa hujan lebat dengan angin sejauh 150 batu per jam yang akan mendorong air laut naik 64 km ke daratan.
Pengeluar minyak pada Selasa telah menghentikan pengeluaran minyak mentah 1.56 juta tong sehari, atau 84% daripada pengeluaran Teluk Mexico dengan mengosongkan 310 pelantar. Sementara 9 kilang penapisan yang memproses 2.9 juta tong minyak sehari juga ditutup.
Ancaman Taufan Laura yang semakin meningkat mendorong pengukuhan dalam pasaran sejak awal minggu, namun ia dijangkakan tidak banyak mempengaruhi bekalan minyak mentah disebabkan inventori sedia ada yang masih tinggi ekoran wabak Covid-19 yang menjejaskan permintaan.
Bekalan minyak mentah AS mencecah sebanyak 507.8 juta tong setakat minggu yang berakhir pada 21 Ogos, walaupun dilaporkan terdapat penurunan ketara sebanyak 4.7 juta tong pada minggu lepas menurut data oleh Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA).