Apa Bakal Terjadi Pada US Dolar Minggu Ini? Beberapa Faktor Ini Jadi Tumpuan

494

Sentimen pasaran yang berisiko dilihat sedikit mereda pada penutup dagangan penghujung minggu lalu menyaksikan pergerakan pasaran yang lebih mendatar berbanding sebelumnya.

Pengukuhan US dolar juga sedikit suram pada sesi-sesi akhir yang tidak menyambung corak positif yang dipaparkan di pertengahan minggu.

Pasaran terus memantau perkembangan perang antara Iran dan Israel selepas dilaporkan serangan balas telah dilancarkan oleh Israel di penghujung minggu lalu.

Berkemungkinan Iran sedang bersiap sedia untuk melakukan serang balas berikutan sebelum ini pernah memberi amaran akan membalas dengan serangan yang lebih dahsyat jika Israel bertindak.

Menambah rencah dalam isu ini, Amerika Syarikat (AS) dilaporkan telah meluluskan bil dana bantuan ketenteraan kepada Israel termasuk Ukraine dan Taiwan berjumlah anggaran $95 bilion.

Pada minggu ini, beberapa data ekonomi penting AS akan menjadi tumpuan untuk fokus Federal Reserve (Fed) dalam penetapan dasar monetari mereka.

Data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS untuk suku pertama 2024 akan diterbitkan dengan bacaan awal diunjurkan lebih rendah kepada 2.5% berbanding 3.4% untuk suku terakhir 2023 yang lalu.

Data indeks harga PCE AS juga akan diperhatikan oleh Fed pada penghujung minggu sebagai komponen inflasi penting yang boleh mempengaruhi penetapan kadar faedah.

Selepas penilaian terhadap kenyataan disampaikan oleh Pengerusi Jerome Powell dan ahli-ahli FOMC yang lain, Fed dijangka akan mengekalkan dasar monetari sedia ada untuk ketika ini.

Jangkaan untuk penangguhan langkah pemotongan kadar faedah oleh Fed itu dilihat akan menyokong US dolar untuk kekal didagangkan positif dalam pasaran.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat