Apa Intipati Minit Mesyuarat FOMC Awal Pagi Tadi?

960

Tumpuan utama pasaran awal pagi tadi adalah minit mesyuarat FOMC yang ditunggu-tunggu oleh para pelabur untuk mendapatkan isyarat daripada bank pusat. Dolar USD kembali mengukuh berbanding Yen dan Euro selepas Federal Reserve dalam minit mesyuarat dasar monetari terbaru menyatakan ekonomi Amerika Syarikat dan pasaran buruh berada pada tahap yang kukuh, memberikan petunjuk bahawa berkemungkinan bakal ada sekurang-kurangnya satu kenaikan kadar pada tahun ini.

FED turut menjelaskan bahawa bank pusat harus sabar apabila membincangkan tindakan berkenaan dasar monetari, dengan menyatakan bahawa langkah untuk menghentikan kenaikan kadar pada bulan lalu menimbulkan kurang risiko tetapi banyak kebaikan, seterusnya memberik masa untuk bank pusat menilai semula kesan kenaikan kadar masa lalu dengan menjurus kepada faktor pertumbuhan ekonomi.

Penganalisis berpendapat minit mesyuarat kali ini lebih hawkish dan berkemungkinan FED akan menaikkan kadar faedah pada musim panas atau musim luruh tahun ini.

USD berjaya mencatatkan kenaikan 0.2% berbanding Yen. Matawang Yen pula didagangkan menurun selepas data eksport Jepun pada bulan Januari merosot dan terburuk dalam tempoh dua tahun.

Tumpuan pasaran akan kembali terarah semula kepada perkembangan rundingan dagang antara Amerika Syarikat dan China.

Sementara itu, Sterling sudah kembali menunjukkan tanda-tanda penurunan berikutan terkesan dengan berita peletakan jawatan oleh beberapa ahli dari parti koservatif Perdana Menteri Theresa May. Pelabur akan melihat faktor tersebut akan memberi kesan terhadap usaha PM May yang sedang bergelut untuk mendapatkan kelulusan pelan Brexit beliau bersama Kesatuan Eropah.

Sterling jatuh 0.4% berbanding USD ke paras terendah dagangan harian semalam selepas berita peletakan jawatan tersebut, namun kembali membuat kenaikan semula susulan komen Menteri Luar Sepanyol kepada Bloomberg bahawa proses perjanjian sedang berjalan lancar.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat