Apa Sedang Berlaku Dalam Pasaran Penghujung Minggu Ini?

197

US dolar kekal didagangkan lemah pada Khamis semalam membuatkan pelabur terus berwaspada terhadap pergerakan pasaran kewangan yang tak menentu sejak awal minggu lagi.

Ini didorong oleh ketidaktentuan pada jangkaan arah penetapan dasar monetari oleh Federal Reserve (Fed) menjelang mesyuarat FOMC minggu hadapan.

Selain Fed, European Central Bank (ECB) dan Bank of England (BOE) juga akan mengadakan mesyuarat dasar untuk kali terakhir bagi tahun 2022 ini, menambahkan lagi kebimbangan pasaran.

Adakah bank-bank pusat berikut akan mengikuti jejak langkah Bank of Canada (BOC) yang memberi isyarat jelas untuk meneruskan pengetatan dasar dalam usaha menurunkan kadar inflasi?

Dolar Kanada terus bergerak kukuh pada sesi New York semalam susulan US dolar yang turut melemah.

Euro dan Pound didagangkan sedikit meningkat berbanding US dolar semalam, namun tidak mustahil perubahan arah harga boleh berlaku pada penutup dagangan di sesi-sesi akhir minggu ini.

Terbitan data tuntutan kadar pengangguran di Amerika Syarikat (AS) di sesi New York semalam mencatatkan angka yang meningkat, menepati ramalan.

Ini turut menunjukkan perkembangan suram pada sektor buruh, jadi adakah boleh mempengaruhi Fed dalam penetapan dasar bagi mesyuarat terbaru?

Pada sesi New York malam ini pula, tumpuan akan terarah pada data indeks harga pengeluar (PPI) Amerika sebelum menyusul pula tinjauan sentimen pengguna oleh Universiti Michigan untuk penilaian terhadap keyakinan perbelanjaan.

Komoditi emas kekal positif mencatatkan peningkatan pada nilai harga semasanya mengambil kesempatan terhadap penyusutan yang berlaku pada US dolar ketika ini.

Namun, lain pula cerita tentang minyak mentah yang mengalami kejatuhan parah semalam setelah pada mulanya sedikit meningkat.

Terbaru, tumpuan terarah kepada berita penutupan saluran paip Keystone di Nebraska yang dilaporkan mengalami masalah kebocoran.

Harga minyak dilaporkan telah jatuh di bawah paras $80 setong buat pertama kali sejak Rusia memulakan serangan pencerobohan ke Ukraine pada penghujung Februari lalu ditambah pula dengan kebimbangan pertumbuhan ekonomi global yang perlahan dan juga permintaan yang lemah.

Ketegangan antara Rusia dan Eropah berkenaan isu had harga minyak serta krisis perang Rusia-Ukraine yang hangat kembali, dilihat akan membebankan pasaran minyak mentah global.

Sementara, perkembangan di China terus dipantau dengan langkah pelonggaran sekatan dan pengumuman dasar sifar Covid yang akan ditamatkan, dilihat sebagai faktor yang positif.

Pergerakan pasaran di penghujung minggu ini dijangka akan lebih tidak menentu dan bergelora buat pelabur selain terdapat risiko aktiviti pengambilan untung (profit taking) yang boleh mengubah arah pergerakan harga semasa.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat