‘Adakah ini berita baik kepada pengguna Android?’
Twitter Inc terus bergelumang dalam kontroversi dengan berita terbaru mengatakan Apple menyekat dan menghentikan pengiklanan media sosial itu pada App Store.
Tidak dinyatakan sebab tentang penyekatan tersebut namun pemilik Twitter, Elon Musk percaya ia kerana amalan penyederhanaan kandungan (content moderation) Apple.
Amalan Apple itu bukan sesuatu yang baru malah aplikasi lain seperti Parler, popular dalam kalangan ahli konservatif Amerika Syarikat, juga pernah disekat kerana kegagalan mematuhi peraturan content moderation.
Musk yang berang menulis ciapan dengan tag eksekutif Tim Cook dan menyoal adakah Apple berbuat begitu kerana mereka benci hak kebebasan bersuara.
Apple mahupun Cook tidak dilihat membalas ciapan tersebut buat masa ini.
Suka untuk diingatkan pemerolehan $44 bilion Twitter oleh Musk telah mengubah dinamik syarikat dengan jutawan itu bertegas untuk menjadikan aplikasi burung biru sebagai medium utama hak kebebasan bersuara.
Tetapi idea Musk dilihat memakan diri apabila Apple menyekat Twitter sehingga menyebabkan kerugian terhadap pelaburan pengiklanan sebanyak $131,600 yang dibuat antara 10 ke 16 November lalu.
Sebelum ini Apple merupakan platform pengiklanan terbesar Twitter pada suku pertama 2022, menelan belanja $48 juta dengan pulangan hasil lebih daripada 4% pada tempoh tersebut.
Dalam pada itu, Musk juga dilihat ‘bersedia untuk berperang’ dengan Apple apabila menyoal yuran 30% dikenakan syarikat iPhone tersebut kepada pemaju perisian dalam App Store.
Jumlah yuran tersebut telah mencetus kritikan dan saman kepada Apple sebelum ini selepas kes melibatkan Fornite keluaran Epic Games menarik perhatian pengawal selia global.