‘Android (1) – iOS (0).’
Tatkala ini sebilangan besar pengguna ekosistem iOS Apple mungkin sudah mengetahui bahawa platform dagangan MetaTrader 4 (MT4) dan MetaTrader 5 (MT5) telah dikeluarkan dari App Store.
Ini bermakna sebarang kemas kini mahupun penaik tarafan baharu produk keluaran MetaQuotes Sofware Corp tersebut bagi pengguna iOS tidak akan menerima sebarang sokongan.
Hal ini dipercayai berlaku kerana terdapat perkaitan antara MetaQuotes dengan Rusia, di mana kuasa Barat sedang giat melakukan sekatan selepas kerajaan Vladimir Putin bertindak menceroboh Ukraine pada Februari lalu.
Pencerobohan tersebut telah menjadi topik hangat pada tahun ini, dan ia secara tidak langsung menyaksikan sejumlah syarikat seantero dunia bertindak memboikot serta mengenakan sekatan sebagai tanda prostes atau solidariti.
Umumnya, MetaQuotes adalah sebuah syarikat perisian Rusia yang mempunyai pendaftaran off-shore di Limassol, Cyprus.
Antara produk yang paling popular keluaran MetaQuotes tentunya platform dagangan elektronik MT4 yang sangat sinonim dalam kalangan trader forex.
Sejak pengenalannya pada 2005, MT4 telah menjadi instrumen utama dalam aktiviti trading dan merupakan platform dagangan paling popular di dunia sebelum MT5 diperkenalkan pada 2009.
Berbalik kepada berita asal, pihak Apple mahupun MetaQuotes tidak menghebahkan mengenai pengeluaran platform tersebut dalam App Store.
Namun, apa yang diketahui adalah Apple merupakan salah satu pemain pasaran terbesar yang rancak memboikot dan menyekat Rusia dengan mematikan segala fungsi pembayaran termasuk Apple Pay di Rusia semasa bulan Mac.
Sungguhpun begitu, pengguna ekosistem Android dan komputer tidak perlu khuatir kerana setakat ini tiada tanda-tanda yang menunjukkan mereka mahu menyekat platform tersebut.