Australia Kecewa, China Sah Kenakan Cukai Import 80%

494

Ketegangan antara China dan Australia terus meningkat setelah Kementerian Perdagangan China akhirnya mengesahkan pengenaan tarif sekitar 80.5% ke atas import barli dari Australia yang berkuatkuasa hari ini, selama 5 tahun.

Di bawah pengenaan tarif tersebut, duti sebanyak 73.6% akan dikenakan terhadap anti-lambakan, sementara 6.9% pula ke atas anti-subsidi terhadap barli Australia yang dieksport ke China.

Berhubung isu anti-lambakan, Australia didakwa telah memberi subsidi yang besar kepada para petani dan menyebabkan berlakunya lambakan di China. Tindakan ini secara tidak langsung akan memberi impak yang besar kepada petani Australia yang turut mengalami masalah kemarau.

Susulan itu, Menteri Perdagangan Australia, Simon Birmingham meluahkan kekecewaannya terhadap tindakan China, di mana pada dasarnya dakwaan tersebut dibuat tanpa fakta atau bukti.

Sehubungan itu, Australia dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk membawa China kepada Organisasi Perdagangan Dunia (WTO) jika pengenaan tarif tersebut tidak ditarik balik.

Tindakan China itu dibuat beberapa jam selepas Presiden Xi Jinping mengumumkan kesediaannya untuk membenarkan siasatan ke atas isu COVID19 dijalankan sepertimana yang digesa oleh Amerika Syarikat dan Australia sebelum ini.

Pada bulan lalu, Perdana Menteri Australia, Scott Morrison telah menyokong Amerika Syarikat yang menuntut supaya satu siasatan dijalankan ke atas China dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhubung isu pandemik coronavirus.

Rentetan daripada itu, Australia terus menerima pelbagai ancaman daripada China, di mana 4 kilang pemprosesan daging lembu miliknya telah disenarai hitamkan oleh negara itu, dan terbaru, cukai import pula dikenakan.

Selaku rakan dagang dan pembekal barli terbesar kepada ekonomi kedua terbesar dunia, Australia mengeksport kira-kira $980 juta sehingga $1.3 bilion setahun, iaitu melebihi separuh daripada eksportnya.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat