Awal-awal Lagi IMF Beri Gambaran Berdarah Untuk 2023!

584
  • 2023 tahun yang sukar
  • Ekonomi perlahan di AS, EU, China
  • China berdepan permulaan 2023 sukar

Lembaran 2023 akhirnya dibuka setelah melalui 2022 yang berliku.

Namun, tahun ini dijangka akan menjadi lebih sukar buat ekonomi global, menurut ketua Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva.

Hal ini kerana, 3 gergasi pertumbuhan global; Amerika Syarikat, Eropah dan China sedang mengalami aktiviti yang semakin lemah.

Situasi ini berlaku ketika perang Rusia-Ukraine, lonjakan inflasi, kadar faedah yang lebih tinggi dan Covid-19 di China membebankan ekonomi global.

IMF telah mengurangkan unjuran pertumbuhan globalnya untuk 2023 pada Oktober, yang mengatakan lebih satu pertiga daripada ekonomi dunia akan menguncup.

Malah, terdapat 25% peluang ekonomi berkembang kurang daripada 2% pada 2023 yang ditakrifkannya sebagai kemelesetan global.

Meneliti jangkaan untuk AS, EU dan China, Georgieva memberi gambaran bercampur-campur tentang keupayaan mereka untuk menahan kemelesetan.

Ujar beliau, AS mungkin berupaya untuk mengelakkan kemelesetan berikutan pasaran buruh yang kekal kukuh.

Namun, itu bukanlah petunjuk yang baik kerana ia akan terus memberi ruang kepada Federal Reserve (Fed) untuk menaikkan kadar faedah dalam usaha menurunkan inflasi.

Selain itu, IMF meramalkan separuh daripada EU akan mengalami kemelesetan pada tahun ini, manakala China akan berdepan permulaan 2023 yang sukar.

Pembukaan semula ekonomi yang tergesa-gesa di China telah menimbulkan keadaan yang huru-hara berikutan berlaku lonjakan kes Covid-19 dan mencetuskan kebimbangan dunia terhadap kemungkinan penyebaran baru.

Amaran terbaru daripada IMF memberi gambaran bahawa ekonomi dunia akan melalui tahun yang lebih mencabar pada 2023 berbanding tahun lepas.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat