Bank Pusat Australia Kekalkan Kadar Faedah Di Paras Rendah

270

Reserve bank of Australia (RBA) pada mesyuarat polisi monetari Ogos telah mengumumkan kadar faedah dikekalkan di paras 1.00% tidak berubah selepas penurunan kadar dua bulan berturut-turut pada mesyuarat sebelum ini.

Susulan penetapan kadar pada mesyuarat RBA sebentar tadi, dagangan dolar Australia tidak menunjukkan impak pergerakan yang ketara walaupun dilihat sedikit mencatatkan penurunan.

Seterusnya, kenyataan susulan oleh bank pusat menjadi fokus pelabur bagi mendapatkan petunjuk ke arah penetapan pada mesyuarat polisi yang akan datang.

RBA menyatakan bahawa tindakan perubahan pada polisi akan dilaksanakan jika perlu, untuk menyokong pertumbuhan ekonomi di Australia. Kadar faedah dijangka akan kekal di paras rendah untuk tempoh yang lebih lanjut.

Bank pusat juga mengulangi kenyataan sebelum ini untuk terus memantau perkembangan pada pasaran buruh dengan lebih dekat sementara unjuran terhadap ekonomi global kekal di paras yang wajar.

Turut menjadi tumpuan bank pusat adalah terhadap pasaran perumahan di Australia. Pasaran perumahan masih dilihat perlahan namun harga-harga rumah semakin stabil di Sydney dan juga Melbourne.

Bank pusat menjangkakan ekonomi Australia akan berkembang pada kadar 2.5% pada tahun 2019. Namun, buat masa ini kebimbangan turut terarah pada dagangan Aussie yang semakin menuju ke paras lebih rendah terkesan oleh faktor-faktor luar.

Polisi monetari akan dilonggarkan jika perlu dengan melihatkan tempoh masa yang lebih panjang diperlukan untuk inflasi mencapai sasaran 2%.

Pelabur tertarik kepada kenyataan bank pusat yang menyatakan bahawa, adalah bersesuaian untuk menjangkakan lanjutan tempoh bagi kadar faedah kekal rendah dalam usaha untuk mengurangkan kadar pengangguran dan untuk mencapai ke arah sasaran inflasi.

Dengan itu, RBA dijangka akan terus memantau perkembangan data untuk keputusan polisi yang seterusnya, dan senario pemotongan kadar pada suku keempat adalah menjadi ramalan utama pasaran.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat