Bank Pusat Australia Kekalkan Kadar Faedah Di Paras Terendah

285

Tumpuan pasaran terarah pada mesyuarat polisi monetari Reserve Bank of Australia (RBA) untuk September dengan ahli mesyuarat memutuskan kadar faedah dikekalkan di paras 1.00% tidak berubah.

Unjuran terhadap ekonomi global masih bersesuian walaupun dipengaruhi oleh risiko pasaran. Ketegangan perdagangan dan teknologi mempengaruhi aliran perdagangan antarabangsa dan juga pelaburan dengan perniagaan mula merencana semula pelan perbelanjaan berikutan ketidaktentuan yang semakin meningkat.

Dalam waktu yang sama, kadar pengangguran masih rendah dan pertumbuhan gaji mencatatkan peningkatan, walaupun inflasi kekal rendah. Di China juga, pihak yang berkuasa sedang mengatur langkah untuk menyokong ekonomi sementara berterusan menangani risiko dalam sistem kewangan.

Keadaan kewangan global kekal akomodatif dengan tekanan risiko terhadap ekonomi global menjurus ke arah pelonggaran polisi oleh beberapa bank pusat utama termasuk di Australia.

Pertumbuhan ekonomi di Australia untuk separuh tahun pertama pada 2019 adalah lebih perlahan berbanding yang dijangkakan sebelum ini dengan dipengaruhi oleh penurunan pada perbelanjaan isi rumah dan kejatuhan harga jualan rumah.

Namun, pertumbuhan dijangka akan kembali mengukuh disokong oleh faktor kadar faedah yang rendah, pemotongan kadar cukai baru-baru ini dan tanda-tanda kestabilan pada pasaran perumahan.

Terdapat isyarat pertumbuhan yang baik pada pasaran perumahan terutamanya di Melbourne dan Sydney. Pertumbuhan untuk kredit rumah kekal rendah dan permintaan kredit oleh pelabur turut berterusan lemah sementara syarat pinjaman kredit terutama untuk perniagaan berskala kecil dan sederhana kekal ketat.

Kadar pertumbuhan pekerjaan mencatatkan pengukuhan beberapa tahun ini dengan sumbangan tenaga buruh merekodkan paras tertinggi. Meliputi pantauan terhadap pasaran buruh dan pertumbuhan gaji, ekonomi Australia dilihat mampu bertahan mengekalkan kadar pengangguran yang rendah.

Tekanan inflasi kekal lemah dan dijangka kadar inflasi berlegar di bawah paras sasaran 2% pada tahun 2020 dan sedikit tinggi dari paras 2% pada 2021.

Masih munasabah untuk menjangkakan lanjutan tempoh bagi kadar faedah kekal di paras yang rendah untuk Australia menurunkan kadar pengangguran serta mencapai perkembangan yang lebih meyakinkan ke arah sasaran inflasi.

Ahli mesyuarat akan terus memantau perkembangan khususnya dalam pasaran buruh, serta bersedia melonggarkan polisi jika diperlukan untuk terus menyokong pertumbuhan ekonomi demi mencapai sasaran inflasi bank pusat dari masa ke masa.

 

 

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat