Beberapa Kaunter Diunjur Meningkat

348

Bursa Malaysia dibuka rendah sedikit pada hari ini susulan kebimbangan berterusan membabitkan Covid-19 dan prestasi semalaman Wall Street yang suram.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut sedikit sebanyak 0.28 mata kepada 1,607.45 manakala saham-saham sarung tangan mencatat pulangan lebih terhad.

Bernama melaporkan, sewaktu dibuka, indeks petunjuk utama susut 0.45 mata kepada 1,607.28.

Sentimen pasaran secara keseluruhannya juga terjejas sedikit dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 232 berbanding 222 manakala 344 kaunter lain tidak berubah, 1,395 tidak diniagakan dan 17 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 578.44 juta saham bernilai RM340.86.

Sementara itu, Malacca Securities berkata, walaupun pelabur mungkin menumpukan saham dengan prospek meraih pulangan lebih tinggi, pasaran sebaliknya kekal bimbang berikutan peningkatan kes jangkitan virus itu selain kelemahan prestasi pasaran saham Amerika Syarikat (AS).

Malah, saham-saham tersebut rendah apabila Indeks Dow Jones susut 0.9% selepas Presiden AS, Joe Biden mencadangkan supaya cukai pulangan modal dinaikkan sekali ganda bagi mereka yang berpendapatan AS$1 juta dan ke atas.

Laporan menyatakan Biden dijangka mengumumkan cadangan itu minggu depan yang menjadi antara usaha menampung perbelanjaan negara tersebut.

Di peringkat tempatan, harga minyak sawit mentah (MSM) terbukti lebih kukuh dan menghampiri paras RM4,000 satu tan manakala minyak mentah Brent juga dijangka mencatat harga lebih tinggi.

Selain itu, prestasi dagangan kayu-kayan juga dilaporkan meningkat.

“Kami yakin saham-saham berkaitan perladangan, minyak dan gas, perkayuan akan mendapat perhatian. Industri pengangkutan dan logistik pula dijangka meningkat semula selepas mengalami penurunan sederhana dalam dagangan semalam,” kata firma pembrokeran itu dalam notanya hari ini.

Top Glove dan Hartalega terus mendahului saham-saham wajaran tinggi apabila masing-masing naik enam sen kepada RM5.68 dan RM10.60 manakala Supermax meraih 12 sen kepada RM5.89.

TM untung tiga sen kepada RM5.81 manakala Press Metal menokok empat sen kepada RM5.25.

Sebaliknya, Sime Darby susut dua sen kepada RM2.27, IHH turun lima sen kepada RM5.45, CIMB rendah tiga sen kepada RM4.21 dan Public Bank rugi satu sen kepada RM4.19.

Bagi saham aktif, Mah Sing naik 11 sen kepada RM1.05, Focus Dynamics menokok satu sen kepada 12.5 sen, Bina Puri merosot setengah sen kepada 8.5 sen dan Key Asic tidak berubah pada 19.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 3.10 mata kepada 11,831.76, FBMT 100 susut 5.90 mata kepada 11,486.80 dan FBM 70 turun 22.94 mata kepada 15,607.42.

FBM Emas Shariah pula menambah 7.50 mata kepada 13,279.79 manakala FBM ACE naik 52.08 mata kepada 8,634.49.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan berkurangan 1.61 mata kepada 6,854.50, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 23.39 mata kepada 15,024.03 dan Indeks Perkhidmatan dan Produk Perindustrian sebaliknya meningkat 0.26 mata kepada 195.98.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat