Bertenang dan Relaks Ringgit Tidak akan Merudum, Kata Pakar Ekonomi

95

Satu analisis corak aliran ringgit bagi setiap suku tahun ini, jelas menunjukkan bahawa ringgit tidak akan merudum atau melepasi paras 4.50 berbanding dolar US biarpun ia lemah dan menyebabkan ramai
panik, kata pakar ekonomi.

Sambil menyanggah ringgit akan lumpuh, Ketua Pakar Ekonomi/Strategis Pelaburan IQI Group Holdings, Shan Saeed berkata unit tempatan itu sebaliknya akan pulih dalam lingkungan paras 4.20-4.30 berbanding dolar US dalam masa sebulan ini atau menjelang Januari depan.

Jelasnya, ringgit terus lemah berbanding dolar US berikutan pengukuhan mata wang Amerika Syarikat (AS) yang didorong faktor ‘Trumponomics’ serta impak positif bakal Presiden AS, Donald Trump terhadap pasaran kewangan.

“Trumponomics merujuk kepada dasar ekonomi Trump. Beliau adalah usahawan dan sememangnya arif dengan selok-belok (bidang) berkaitan. Dolar US semakin mengukuh yang menyebabkan para pelabur mengalihkan dana mereka terhadap mata wang itu.

“Ia semudah ‘ABC’ (untuk memahaminya). Malah, hasil bagi nota Perbendaharaan 10 tahun AS misalnya, menokok daripada 1.37 peratus kepada 2.36 peratus dalam masa empat setengah bulan,” katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut, Shan berkata perolehan instrumen pendapatan tetap lainnya turut meningkat dan menarik pergerakan dana, termasuk menyaksikan bon-bon 10 tahun kerajaan Itali meningkat lebih sekali ganda sejak Ogos 2016.

Kadar Tawaran Antara Bank London (LIBOR), iaitu antara penanda aras kadar faedah utama dunia, juga naik daripada 0.61 peratus pada awal tahun ini kepada 0.91 peratus – paras tertingginya sejak Nov, 2009.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai agar tidak panik dengan prestasi semasa ringgit.

“Bertenang dan relaks. Nilai mata wang ini ditentukan oleh kuasa pasaran.

“Saya sendiri amat yakin bahawa ringgit akan meningkat kembali dan mencecah paras 4.20-4.30 (berbanding dolar US) dalam bulan ini atau Januari 2017.

“Apalagi dengan perkembangan semasa yang menyaksikan harga penanda aras minyak mentah global diniagakan melebihi US$53 setong,” katanya.

Shan turut membangkitkan selain ringgit, semua mata wang serantau ini turut susut berbanding dolar US.

“Jika anda rujuk carta (aliran mata wang) November, rupiah Indonesia susut 3.7 peratus, peso Filipina jatuh 2.7 peratus, dolar Singapura merosot 2.5 peratus manakala baht Thailand jatuh 1.5 peratus.

“Apakah carta itu membuktikan kesemua kerajaan ini teruk atau dasar mereka salah? Jawapannya tidak.

“Ia sebaliknya disebabkan oleh faktor dolar US sedang mengukuh dan para pelabur memindahkan dana ke dalam mata wang itu akibat faktor Trumponomics,” tegasnya.

Sumber: Bernama

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat