Situasi agak keruh untuk komuniti Terra apabila Binance mengumumkan sekatan pengeluaran bagi aset LUNA dan UST telah dilaksanakan.
Difahamkan tindakan tersebut terkait dengan keadaan rangkaian yang sedang sesak hingga menyebabkan kelambatan pemprosesan transaksi.
Sekatan ini hanya sementara kerana Binance akan membuka semula pengeluaran aset sebaik sahaja rangkaian kembali stabil dan jumlah pengeluaran yang tertangguh beransur kurang.
Penangguhan pengeluaran juga bermakna para pelabur tidak dibenarkan menjual UST di bawah $0.70.
Ketika penulisan, UST mencatatkan peningkatan harga sebanyak 49% dari paras terendah, $0.61 dengan nilai dagangan semasa, $0.90.
Buat masa sekarang rizab Luna Foundation Guard (LFG) menyaksikan keruntuhan nilai dalam dolar AS sebanyak 85% berada di paras $171.4 juta – UST bernilai $86.82 susut 41% dan AVAX bernilai $84.5 juta.
LFG juga telah bertindak mencairkan rizab bitcoin yang mula dikumpul sejak 26 Mac 2022 untuk menyokong nilai UST bersandarkan pada dolar AS.
Sebagai rekod, bukan sahaja Binance yang bertindak menangguhkan pengeluaran LUNA dan UST tetapi platform pertukaran kripto lain seperti Kraken dan CoinList juga berbuat demikian.