Emas meraih momentum tinggi sekitar $2,510 semasa awal dagangan Asia pada hari Isnin di saat harapan berlakunya pemotongan kadar oleh Federal Reserve (Fed) untuk September semakin meyakinkan.
Tepat jam 9.30 pagi, harga emas berada pada paras $2,499.71 iaitu turun sebanyak 0.34% sejak ia dibuka pada dagangan Isnin.
Peserta pasaran kini akan mengambil petunjuk dengan lebih banyak daripada bacaan pertama Indeks Pengurus Pembelian Global (PMI) dan ucapan Pengerusi Fed Jerome Powell pada minggu ini di acara simposium Jackson Hole.
Walau bagaimanapun, logam kuning tersebut melonjak ke paras tertinggi sepanjang masa lagi sekali pada penghujung dagangan Jumaat lepas apabila para pelabur meletakkan lebih banyak pertaruhan pada pemotongan kadar Fed nanti.
Data ekonomi AS minggu lepas menunjukkan bahawa Jualan Runcit mengatasi anggaran dan Indeks Harga Pengeluar dan Pengguna AS menunjukkan inflasi semakin berkurangan.
Selain itu, ketegangan geopolitik yang berterusan di Timur Tengah dan perang Ukraine-Rusia menjadi penyumbang kepada permintaan emas sebagai aset selamat para pelabur.
Konflik di antara Hizbullah dan Israel menunjukkan kehangatan pada hujung minggu walaupun terdapat usaha diplomatik bagi mengurangkan ketegangan di rantau tersebut.
Agensi berita antarabangsa melaporkan bahawa serangan Israel pada hari Sabtu lepas adalah antara yang paling dahsyat sejak pertempuran bermula pada Oktober.