Bursa Malaysia Kembali ‘Hijau’, Berjaya Tawan Paras 1,500 Mata

333

Bursa Malaysia memulakan sesi dagangan hari ini dengan positif apabila indeks petunjuk utama melangkaui paras 1,500 mata ketika sentimen kekal memberangsangkan walaupun pasaran Wall Street lemah semalaman.

Pergerakan itu berlaku kerana tumpuan pasaran tempatan beralih kepada pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai penetapan Kadar Dasar Semalam (OPR) menerusi mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari yang berlangsung hari ini.

Pagi tadi, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.74 mata kepada 1,500.85 berbanding paras 1,496.11 yang dicatatkan penutup semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka dengan pertambahan 1.05 mata pada 1,497.16. Sentimen pasaran secara keseluruhan adalah positif di mana kaunter untung mengatasi kaunter rugi iaitu 171 berbanding 116. Manakala, 236 kaunter tidak berubah, 1,764 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah bernilai sebanyak 179.32 juta unit yang bernilai RM77.47 juta.

Menurut Ketua Penyelidik Apex Securities Bhd, Kenneth Leong berkata FBM KLCI bergerak dalam aliran peningkatan semalam dan prestasi itu dijangka berterusan dalam persekitaran pasaran yang lebih tenang dengan indeks petunjuk utama dijangka sekali lagi melepas paras psikologi 1,500.

Perkembangan itu berlaku di tengah-tengah tumpuan pelabur terhadap keputusan BNM mengenai OPR yang dijangkakan akan kekal pada 3.0 peratus.

Namun, di peringkat global pula pasaran lebih tertumpu pada pengumuman pelaporan pendapatan sukuan AS buat masa ini.

Sebarang peningkatan seterusnya berkemungkinan memacu indeks penanda aras itu ke paras rintangan semasa pada 1,504. Paras rintangan dalam masa terdekat adalah pada 1,465.

Di pasaran tempatan, saham wajaran tinggi menyaksikan Public Bank untung satu sen kepada RM4.36, CIMB, Petronas Chemicals dan IHH Healthcare masing-masing menokok tiga sen kepada RM6.05, RM6.82 dan RM6.03, CelcomDigi menambah dua sen kepada RM4.26 dan Hong Leong Bank meraih lapan sen kepada RM19.20.

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 28.27 mata kepada 16,729.74, Indeks Perladangan meraih 4.75 mata kepada 907.89, Indeks Perladangan menambah 17.8 mata kepada 7,173.6, Indeks Tenaga menokok 2.67 mata kepada 860.83 selain Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.42 mata kepada 174.17.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat