China Pamer Kesungguhan Capai Kesepakatan Rundingan Bersama Amerika Syarikat

417

Dalam usaha mencari jalan penyelesaian terhadap kebuntuan perang dagang yang berlarutan antara Washington dan Beijing, memetik laporan daripada pihak berkuasa, agensi berita rasmi Xinhua China  menyatakan bahawa beberapa syarikat China mula mencari pesanan pembelian baru untuk produk pertanian daripada Amerika Syarikat.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bersama rakan sejawatannya dari China, Presiden Xi Jinping telah bersetuju untuk memulakan semula rundingan dagang yang terbantut sejak Mei, ketika perjumpaan di persidangan G20 Osaka Jepun baru-baru ini.

Ketegangan timbul minggu lalu setelah Donald Trump mengatakan China tidak menepati janji untuk meningkatkan pembelian produk pertanian dari Amerika Syarikat setelah beliau bersetuju untuk tidak mengenakan tarif tambahan terhadap barangan import China.

Peniaga-peniaga China telah mula membuat pertanyaan bersama pengeksport Amerika Syarikat untuk pembelian tanaman serta produk pertanian dan juga berkenaan kenaikan tarif terhadap barangan.

Menurut Xinhua lagi, Suruhanjaya Tarif Kastam China akan menyediakan khidmat pakar bagi menilai permohonan pengecualian tarif syarikat-syarikat dari China.

Dua negara ekonomi gergasi dunia itu telah pun mengharungi siri pertarungan tarif sejak Julai 2018 lagi, di mana Amerika Syarikat menekan China sebagai tanda protes terhadap negara pesaingnya itu dengan anggapan bahawa telah berpuluh tahun wujud ketidakadilan dalam urusan perdagangan dan tidak menguntungkan Amerika Syarikat.

Namun, China memberi respon dengan menyatakan sebarang urusan perdagangan dilaksanakan dengan adil dan telus. Sejak itu, kedua-dua negara tersebut dilihat kian menjauh daripada mencapai kesepakatan dan telah menjejaskan rantaian bekalan global dan juga kegoyahan pada pasaran kewangan.

Dengan langkah awal daripada China itu menunjukkan kesungguhan dalam mencapai hubungan yang lebih positif diharap akan memberi isyarat yang baik kepada Amerika Syarikat sebelum rundingan dagang akan bermula kembali .

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump turut melaporkan bahawa Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Steven Mnuchin telah berbincang baik bersama China.

China juga telah mengesahkan Timbalan Presiden, Liu He dan Menteri Perdagangan, Zhong Shan telah berbual melalui panggilan telefon pada Khamis bersama Mnuchin dan wakil Perdagangan Amerika Syarikat, Robert Lighthizer berhubung rundingan lebih lanjut, begitu juga pelaksanaan kesepakatan oleh kedua-dua presiden yang dicapai ketika di Osaka tempoh hari.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat