China Usul Undang-Undang Baru Terhadap Hong Kong – Amerika Beri Amaran Tegas!

499

China dilaporkan akan mengusulkan undang-undang keselamatan baru ke atas Hong Kong sebagai tindak balas terhadap protes pro-demokrasi secara besar-besaran yang berlaku sejak tahun lalu.

Sehubungan daripada itu, penggubal undang-undang China dijangka akan membahaskan draf undang-undang tersebut pada sesi tahunan parlimen Kongres Rakyat Nasional (NPC) yang bermula hari ini.

Di bawah undang-undang baru tersebut, China akan diberi kuasa untuk mempertingkatkan sistem kehakiman dan penguatkuasaan undang-undang terhadap Hong Kong bagi melindungi keselamatan negara.

Antara rangkuman yang terkandung dalam draf undang-undang itu, ia akan melarang pemisahan, campur tangan asing, keganasan dan semua kegiatan hasutan yang bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan pusat dan sebarang gangguan luaran di Hong Kong.

Rancangan tersebut bagaimanapun telah mendapat perhatian antarabangsa berikutan pelanggaran hak ke atas Hong Kong, di mana ia sepatutnya menikmati hak dan kebebasan di bawah kerangka ‘satu negara, dua sistem’ seperti mana yang dipersetujui ketika wilayah itu dikembalikan kepada China.

Hal ini sudah semestinya menerima kritikan hebat daripada Presiden AS Donald Trump yang mengatakan Amerika Syarikat akan bertindak balas dengan tegas terhadap setiap usaha Beijing untuk memperketatkan penguasaannya ke atas Hong Kong.

Donald Trump sebelum ini telah meluluskan rang undang-undang yang menyokong penunjuk perasaan di Hong Kong. AS kini mempunyai masa sehingga akhir bulan ini untuk memutuskan untuk mengesahkan autonomi Hong Kong di bawah Akta Hak Asasi Manusia dan Demokrasi 2019.

Sementara itu, Taiwan pula mendesak China supaya tidak mendorong Hong Kong kepada kekacauan yang lebih besar dengan melaksanakan undang-undang tersebut dan menggesa supaya Beijing untuk melakukan dialog dengan Hong Kong.

Dalam pada itu, Reuters melaporkan penunjuk perasaan Hong Kong kini sedang mengadakan demonstrasi untuk menentang rancangan tersebut.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat