Dagangan Minyak Mentah Terus Lemah Sehingga Cecah $27 Setong!

455

Dagangan komoditi hitam terus diniagakan rendah, dilemahkan oleh kebimbangan terhadap pengurangan permintaan bahan api susulan lebih banyak sekatan perjalanan dikeluarkan oleh beberapa negara utama di seluruh dunia.

Setelah mengarahkan Aramco untuk meningkatkan pengeluaran, Arab Saudi kini merancang untuk meningkatkan eksport minyak mentah kepada 10 juta tong sehari bermula bulan Mei sekali gus menyebabkan harga minyak mengalami kejatuhan sekali lagi.

Kementerian Tenaga Arab Saudi mengeluarkan kenyataan pada hari Selasa bahawa negara itu akan menggunakan gas asli yang dihasilkan dari kilang gas Fadhili untuk mengimbangi kira-kira 250,000 tong sehari penggunaan minyak dalam negara.

Ini akan membolehkan kerajaan meningkatkan eksport minyak mentahnya pada masa akan datang yang melebihi 10 juta tong sehari.

Dagangan minyak mentah WTI Amerika Syarikat jatuh ke paras terendah hampir 4 tahun di paras harga $26.59 setong sebelum kembali diniagakan stabil di sekitar $27.10 setong pada sesi Asia.

Minyak mentah Brent pula meningkat 1.2% kepada $30.80 setong selepas pada awalnya menyusut kepada $28.40 setong, juga di paras terendah sejak 2016.

Penurunan dalam inventori minyak mentah AS sebanyak 421,000 tong pada minggu lepas seperti yang dilaporkan oleh Institut Petroleum Amerika (API), sedikit menyokong peningkatan harga pada sesi Asia hari ini.

Di sisi lain, Menteri Tenaga Iraq mendesak anggota Pertubuhan Pengeksport Petroleum (OPEC) dan OPEC+ untuk mengadakan mesyuarat kecemasan bagi membincangkan tindakan balas untuk membantu mengimbangi pasaran minyak.

Perang harga yang tercetus antara dua pengeluar terbesar minyak mentah disebabkan kegagalan dalam mencapai kesepakatan untuk pengurangan pengeluaran baru-baru ini telah menambah tekanan kepada harga minyak untuk jatuh lebih rendah.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat