Data GDP AS Selamatkan USD Dari Terus ‘Terjun Lombong’

293

Mata wang US dolar paparkan pemulihan dari paras terendah 3 bulan meredakan seketika situasi buruk yang menimpa raja mata wang itu.

Menghadkan penyusutan berterusan US dolar, data pertumbuhan ekonomi (GDP) Amerika Syarikat (AS) untuk suku ketiga diterbitkan dengan bacaan angka yang memberangsangkan.

Bacaan kedua yang diterbitkan bulan ini menunjukkan pertumbuhan ekonomi meningkat kepada 5.2% berbanding bacaan terdahulu pada 4.9%, dan turut mengatasi ramalan 5.0%.

Justeru, data tersebut berjaya meredakan sedikit kejatuhan parah yang berlaku ke atas US dolar sejak beberapa minggu yang lalu.

Namun, penganalisis memberi amaran untuk tidak terlalu awal menarik nafas lega berikutan beberapa lagi data penting akan menjadi tumpuan hari ini (Khamis).

Selain bacaan data sektor ekonomi China akan diteliti di sesi Asia, tumpuan akan terarah kepada data tuntutan faedah pengangguran AS dan juga indeks perbelanjaan peribadi pengguna (PCE) di sesi New York malam nanti.

Walaupun sedikit pulih semalam, namun pelabur kekal berwaspada terhadap pergerakan US dolar yang mencatatkan kejatuhan bulanan terbesar sejak November 2022 berikutan jangkaan terhadap pemotongan kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed) pada tahun hadapan.

Indeks dolar (DXY) telah jatuh ke sekitar 102.50 tetapi dilihat sedikit melantun ke sekitar 103.00 mata sementara hasil perbendaharaan 10-tahun AS pula kekal terperosok hingga pagi ini mencecah sekitar 4.25%.

Perkembangan komoditi, pergerakan harga minyak mentah tidak stabil namun berjaya pertahankan sedikit peningkatan menjelang mesyuarat OPEC yang dijadualkan hari ini untuk membincangkan keputusan pengurangan pengeluaran bekalan.

Sementara dagangan emas pula mendatar di bawah paras $2,050 setelah lonjakan harga di awal sesi Asia semalam mencapai paras tertinggi terbaru 6 bulan tersebut.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat