Data Inflasi Pengeluar (PPI) Malaysia Naik 1.9%, Tertinggi 16 Bulan!

415

Rujukan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Indeks Harga Pengeluar (PPI) Malaysia yang menjadi tolok ukur perubahan harga barangan di peringkat pengeluar meningkat 1.9% pada April 2024 merekodkan angka tertinggi sejak Disember 2022.

Pada Mac lepas, IHPR negara meningkat 1.6% pada tahunan.

Dalam laporan bulanan terbarunya mengenai PPI Pengeluaran Tempatan bagi April 2024, Ketua Perangkaan iaitu Dr Uzir Mahidin berkata semua sektor mencatatkan peningkatan pada bulan tersebut.

Tambahnya lagi, sektor perlombongan terus melonjak 10.0% apabila ia disumbangkan oleh peningkatan dalam pengekstrakan petroleum mentah (12.3%) dan indeks pengekstrakan gas asli (3.5%).

Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan juga meningkat sebanyak 5.4% dengan indeks pertumbuhan tanaman serta penternakan haiwan masing-masing meningkat sebanyak 9.2% dan 2.9%.

Selain itu, sektor pembuatan mencatatkan peningkatan kecil sebanyak 0.8% disebabkan oleh indeks pembuatan komputer, elektronik dan produk optik (8.9%).

Bagi sektor utiliti, indeks bekalan elektrik dan gas meningkat sebanyak 1.0%. Indeks bekalan air mencatatkan peningkatan sebanyak 7.2%.

Kontrak hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia berlegar melebihi RM4,000 per tan berikutan lonjakan harga minyak mentah di saat kenaikan harga minyak saingan lain.

Harga tandan segar juga terus meningkat sejak awal 2024 yang membawa kepada pertumbuhan positif dalam sektor pertanian, perhutanan dan perikanan.

Indeks harga minyak mentah berada pada tahap tertinggi di seluruh dunia. Harga beberapa komoditi khususnya sumber tenaga mula meningkat pada penghujung Februari 2022 berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Ketegangan geopolitik di Timur Tengah juga mendorong kenaikan harga komoditi utama seperti minyak dan emas.

Menurut Tinjauan Pasaran Komoditi pada April 2024, harga komoditi diunjurkan menjadi sederhana sedikit pada 2024 dan 2025 yang dijangka kekal di atas paras pra-pandemik.

Risiko utama kepada unjuran harga komoditi adalah berkenaan konflik yang meningkat di Timur Tengah yang boleh mengakibatkan harga minyak yang lebih tinggi dengan ketara dan tekanan inflasi global.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat