“BTC asyik turun naik dekat tempat sama je, bila harganya nak buat pergerakan ketara?”
Sejurus selepas menembusi $70,000, harga raja mata wang kripto Bitcoin (BTC) yang gagal mengekalkan kedudukannya telah merudum semula di bawah $69,000 apabila para pelabur kini ingin memerhatikan terlebih dahulu beberapa laporan ekonomi pada minggu ini.
Diperjelaskan lebih lanjut, terbitan data PMI Perkhidmatan ISM Mei yang dikeluarkan pada Rabu esok akan berfungsi sebagai penunjuk utama perubahan dalam keadaan ekonomi yang sejak kebelakangan ini makin tidak menentu.
Laporan NFP daripada Biro Statistik Jabatan Buruh pada 8 Jun 2024 pula akan memberikan bilangan pekerjaan baharu dicipta pada bulan sebelumnya bersama-sama peratusan pencari pekerjaan yang agak aktif.
Rentetan itu, penganalisis Wall Street menjangkakan 180,000 pekerjaan baharu akan ditambah dan kadar pengangguran kekal pada 3.9% ditambah pula data pasaran buruh Amerika Syarikat (AS) yang disemak menunjukkan pada kemelesetan.
Namun perlu diingatkan laporan pekerjaan dan ekonomi pada minggu ini tidak mungkin akan memberi banyak kesan ke atas pasaran kripto termasuk BTC berbanding terbitan data Indeks Harga Pengguna (CPI).
Menurut penganalisis Bitfinex baru-baru ini, fasa correction kini nampaknya hampir tamat susulan pemegang jangka panjang sudah mula mengumpul BTC buat kali pertama sejak Disember 2023 setelah secara berterusan menjualnya.
Jadi di sini dapat dilihat pengeluaran data inflasi utama dan mesyuarat Federal Reserve (Fed) pada minggu depan boleh mencetuskan pergerakan turun naik yang ketara pada harga BTC, ulas co-founder Arbelos Markets Joshua Lim.
Suka dimaklumkan juga trader kripto terkemuka Peter Brandt telah meramalkan bull run BTC boleh mendorong harganya menggunung antara julat $130,000 dan $150,000 menjelang akhir Ogos hingga awal September 2025.
Sehingga berita ini ditulis, harga BTC melonjak sebanyak 1.06% pada paras $68,027 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran lebih $1.3 trilion tetapi masih mencatatkan penyusutan 0.48% sepanjang minggu lepas.