Data Pekerjaan Australia Mengejutkan Pasaran Dengan Bacaan Memberangsangkan

325

Sesi pasaran Asia hari ini tertumpu kepada penerbitan data pekerjaaan Australia bagi bulan Mac yang mengejutkan pasaran dengan bacaan yang lebih baik daripada yang dijangkakan.

Data yang diterbitkan Biro Perangkaan Australia menunjukkan bahawa Australia telah menambah sebanyak 5,600 pekerjaan daripada penambahan 25,600 pada bulan sebelumnya, namun bacaan ini lebih baik daripada yang dijangkakan untuk mengurangkan sebanyak 33,000 pekerjaan.

Sementara itu, kadar pengangguran Australia pula hanya meningkat kepada 5.2% daripada bacaan yang direkodkan sebelum ini 5.1%, iaitu jauh lebih baik daripada unjuran untuk meningkat kepada 5.4%.

Walaupun bacaan yang dicatatkan ini lebih baik daripada jangkaan pasaran, tetapi tinjauan ini dilakukan pada dua minggu pertama pada bulan tersebut, iaitu sebelum kerajaan Australia melaksanakan sekatan untuk membendung penularan coronavirus.

Susulan daripada itu, dolar Aussie melonjak sedikit berbanding matawang USD dan safe-haven yen sebelum kembali meneruskan penurunannya pada sesi Asia pagi ini.

Dolar Aussie pada mulanya telah mencatat peningkatan sehingga mencecah paras tertinggi 1 bulan berbanding USD pada awal minggu ini, dipengaruhi oleh pemulihan sentimen berisiko dan kelemahan US dolar.

Namun begitu, sejak dagangan semalam, pasangan matawang AUD/USD telah mencatat penurunan sekitar 170 pips, berikutan peningkatan permintaan US dolar sebagai matawang safe-haven yang didorong oleh kebimbangan terhadap impak coronavirus ke atas ekonomi global adalah lebih buruk daripada yang disangkakan.

Selain itu, kebimbangan ini juga turut mendorong pasangan matawang NZD/USD untuk mencatat penyusutan sekitar 160 pips sejak sesi dagangan semalam.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat