SC Beri Amaran Kepada Pengendali DAX Yang Tidak Sah Untuk Hentikan Operasi

771

Berikutan dengan situasi semasa COVID-19, terdapat banyak pihak yang cuba menggunakan kesempatan tersebut bagi memperdaya orang ramai. Terbaru, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah memberi amaran agar orang awam tidak mudah terpengaruh dan menjalankan pelaburan dalam bursa asset digital atau lebih dikenali sebagai DAX. Hal ini demikian kerana platform tersebut adalah tidak sah untuk beroperasi di Malaysia.

Oleh itu, SC telah menyenaraikan sebanyak 12 buah lagi syarikat yang menjalankan operasi secara tidak sah atau tanpa kebenaran suruhanjaya berkenaan. Orang ramai boleh merujuk di laman sesawang Peringatan Pelabur iaitu https://www.sc.com.my/investor-alert.

Menurut suruhanjaya itu, para pelabur yang telah berjaya dipengaruhi bakal berhadapan dengan pelbagai risiko seperti penipuan, pengubahan wang haram serta tidak memiliki akses kepada sektor perundangan.

Tambahan daripada itu, SC menjelaskan bahawa hanya terdapat 3 Pengendali Pasaran Diiktiraf (RMO) yang berdaftar bagi DAX, iaitu Luno Malaysia Sdn Bhd, SINEGY Technologies (M) Sdn Bhd dan Tokenize Technology (M) Sdn Bhd.

Oleh yang demikian, suruhanjaya itu menegaskan agar mana-mana pengendali DAX yang beroperasi secara tidak sah di negara ini agar menghentikan aktiviti mereka dalam kadar segera. Hal ini kerana pengendalian DAX tanpa kebenaran SC adalah salah di sisi undang-undang sekuriti. Jika seseorang disabitkan kesalahan, individu tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Seterusnya, orang ramai boleh membuat pengesahan tentang pengendali pasaran DAX yang sah di laman sesawang https://www.sc.com.my/development/digital/digitalassets atau menghubungi talian suruhanjaya sekuriti di +6036204899 serta emel di [email protected].

 

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat