Dilanda Malapetaka! Kekayaan Gautam Adani Terus Lesap

689
  • Dakwaan penipuan sebabkan penjualan besar-besaran saham
  • Gautam Adani tergelincir ke tangga 16 dalam senarai jutawan dunia
  • Adani bukan lagi orang terkaya Asia.

Bagai jatuh ditimpa tangga, jutawan India Gautam Adani terus ditimpa malang selepas nilai pasaran syarikatnya susut lebih $100 bilion akibat dakwaan penipuan oleh Hindenburg Research.

Minggu lalu, firma penyelidikan kewangan itu telah mengeluarkan laporan yang menuduh Adani Group terlibat dalam manipulasi saham dan amalan perakaunan yang meragukan.

Dakwaan tersebut telah mencetuskan penjualan besar-besaran dalam saham syarikat itu, yang menghapuskan lebih $100 bilion nilai pasarannya pada Khamis.

Malah, kekayaan peribadi Adani juga merosot kira-kira $60 bilion, yang menolaknya jatuh lebih jauh ke kedudukan ke-16 daripada tempat ketiga dalam senarai jutawan Forbes.

Bukan itu sahaja, beliau juga telah kehilangan gelarannya sebagai orang terkaya Asia.

Susulan daripada ‘malapetaka’ ini, Adani turut terpaksa membatalkan penjualan saham Adani Enterprises pada hari Khamis yang bernilai $2.5 bilion.

Beliau juga mengeluarkan mesej video untuk menenangkan para pelabur, yang menegaskan bahawa asas kumpulannya adalah kuat dan rekodnya dalam membayar balik hutang adalah sempurna.

Junaman dalam saham Adani telah mencetuskan kebimbangan bahawa kesannya akan merebak lebih luas ke atas sistem kewangan India.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat