Ditipu Hidup-Hidup, 2 Lelaki Malaysia Rugi RM3 Juta Labur Kripto!

700

“Kena tipu berjuta-juta, banyaknya boleh buat belanjakan kat benda lain.”

Dua lelaki tempatan di Malaysia mengalami sejumlah besar kerugian sebanyak RM3,147,714 akibat penipuan pelaburan mata wang kripto pada Februari dan Mei 2023.

Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, seorang doktor pakar berusia 57 tahun dilaporkan kerugian lebih RM2 juta dalam kripto pada Februari selepas berkenalan dengan individu menggelarkan dirinya sebagai “Profesor Kim So Young” melalui aplikasi Linkedin.

Diperjelaskan lebih terperinci, suspek menawarkan mangsa untuk menyertai skim pelaburan dipanggil “Trading Cryptocurrency” dan menyuruhnya mendaftarkan akaun dagangan di laman web yang disediakan oleh suspek itu.

Mangsa kemudian membuat 55 pemindahan online berjumlah RM2.097 juta kepada 37 akaun bank berbeza disediakan oleh suspek untuk membeli mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) kemudian menukarnya pada kripto.

Sejurus selepas akaun pelaburan tidak boleh diakses dan suspek tidak dapat dihubungi, mangsa telah membuat laporan polis di Ampang Jaya, ulas Hussein lagi.

Dalam kes kedua pula, Hussein berkata seorang jurutera bersara telah ditipu selepas bertemu dengan seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Anna di Linkedin pada Mei 2023.

Mangsa yang ditawarkan untuk menyertai skim pelaburan saham telah dimasukkan ke dalam group Whatsapp bernama “1 Year 10 Times Wealth Club” seterusnya diminta memuat turun aplikasi bagi membuka akaun pelaburan termasuk pembayaran deposit.

Hussein turut mendedahkan bahawa mangsa itu yang melakukan 19 transaksi berjumlah RM1.052 juta kepada lapan akaun berbeza dari 15 jun hingga 2 Julai 2023 telah membuat laporan polis di Sepang setelah menyedari ditipu apabila customer service tidak lagi membalas mesejnya.

Rentetan daripada kedua-dua kes berikut, Hussein menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan skim pelaburan melibatkan kripto ataupun saham yang ditawarkan secara online terutamanya di media sosial, di mana ia janjikan pulangan besar dalam tempoh singkat.

Tambahnya lagi, orang ramai yang berhasrat membuat sebarang pelaburan perlu menyemak di laman web Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menentukan sama ada ia adalah syarikat pelaburan berdaftar atau tidak.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat